Oleh Muhamad Azrin Mad Heder sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David menepati ramalan ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2013 dengan menundukkan lawan dari England, Lisa Aitkin 11-4, 11-6, 11-7 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Dalam aksi itu, Nicol tidak mempunyai masalah untuk menamatkan perlawanan dalam masa 35 minit.
"Ini merupakan kali pertama saya bertemu dengan Lisa. Dia seorang pemain kidal, jadi saya perlu lebih berhati-hati dengan setiap pukulan daripadanya.
"Pada perlawanan esok (hari ini), saya perlu lebih bersedia kerana setiap pemain yang layak ke pusingan kedua mampu memberi saingan yang hebat," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.
Turut mengikuti jejak Nicol ialah pemain No. 2 negara, Low Wee Wern yang berjaya menumpaskan pemain dari England, Emily Whitlock 11-6, 11-6, 11-4.
Namun, dua lagi wakil negara, Delia Arnold dan Rachel Arnold gagal ke peringkat seterusnya selepas kecundang dalam pusingan pertama kejohanan.
Rachel tunduk kepada pemain Hong Kong, Annie Au 11-3, 11-7, 11-4 manakala Delia ditumpaskan pemain Australia, Kasey Brown 11-9, 13-11, 11-9.
Nicol dijadual bertemu pilihan dari Mesir, Omneya Abdel Kawy yang menewaskan rakan senegara, Nous El Tayeb selepas diheret lima set 6-11, 11-8, 6-11, 13-11, 11-4 manakala Wee Wern akan menentang Brown yang merupakan pilihan dari Australia.
Sementara itu, pemain pilihan kedua kejohanan, Laura Massaro dari England dan Raneem El Weleily dari Mesir turut menempah tiket ke pusingan seterusnya.
Massaro menewaskan Latasha Khan dari Amerika Syarikat 11-5, 11-5, 11-6 manakala Raneem menyingkirkan Joshana Chinappa 11-5, 11-5, 11-8.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130912/su_03/Nicol-Wee-Wern-ke-pusingan-kedua#ixzz2efYBlugj
No comments:
Post a Comment