Ad

Sunday, 15 September 2013

'Flashback' peranan bekas renjer

  • Hari Malaysia
 1 / 1 
KOTA KINABALU - Sambutan Hari Malaysia julung kali di Taman Prince Philip, Pantai Tanjung Aru pada Isnin ini, menimbulkan kenangan pahit manis bagi bekas renjer dan wartawan veteran Emin Madi.

Emin, 64, mengalami 'flashback' akan peranannya di peringkat awal penubuhan Malaysia yang penuh liku dan ranjau bermula dengan sesi pengambilan rekrut Rejimen Renjer di Keningau pada tahun 1965 semasa beliau berusia 16 tahun.

Walaupun belum cukup umur, tetapi    oleh kerana begitu berminat menyertai tentera, Emin memberitahu pegawai tentera yang menemuduganya bahawa beliau berusia 18 tahun dan mereka mempercayainya.

“Sebenarnya semangat saya untuk menganggotai pasukan keselamatan berkobar-kobar setelah Pegawai Daerah Keningau ketika itu, En Richard Lind (kemudian menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri dan kini bergelar Tan Sri) mencabar saya dengan kata-kata 'negara kita memerlukan orang-orang seperti anda untuk menyertai tentera',” katanya.

Pada ketika itu, hubungan Sabah di pihak Malaysia dan Indonesia masih tegang ekoran perisytiharan kontrontrasi oleh negara jiran itu yang membantah pembentukan Persekutaun Malaysia.

Satu Pengalaman Baru

Anak muda dari Kampung Bayangan itu berkata pengalaman yang dilaluinya selama lima tahun berkhidmat bersama Rejimen Renjer Malaysia amat bermakna dan sukar dilupakan.

“Saya berkhidmat dalam Rejimen Renjer Malaysia dari 1965 hingga 1970, bertugas mempertahankan negara semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia (1962-1967) serta mempertahankan negara daripada ancaman Komunis,” katanya kepada Bernama.

Indonesia secara rasminya mengakhiri konfrontasi terhadap Malaysia pada tahun 1967 “Walaupun tidak pernah bertembung dengan musuh, namun pengalaman meredah hutan tebal yang berbukit bukau untuk mencari musuh di kawasan persempadanan Indonesia-Sarawak itu sukar dilupakan,” katanya.

Selain itu ketika bertugas sementara di Taiping, Perak beliau melihat sendiri mayat rakan seperjuangan yang dibawa pulang dari hutan akibat serangan hendap Komunis.

“Keadaan mayat-mayat itu sangat memilukan dan jelas menggambarkan kekejaman Komunis,” katanya sambil menunjukkan keadaan itu mirip kepada apa yang berlaku pada anggota pasukan keselamatan yang terkorban di Lahat Datu awal tahun ini.

Erti Kemerdekaan

Emin berkata tugas berat mempertahankan kedaulatan Malaysia juga memperlihatkan jalinan kerjasama dan semangat setiakawan di kalangan anggota pasukan yang datang daripada pelbagai kaum dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Kehidupan masyarakat pada masa itu bukan sahaja susah tetapi mereka sentiasa dibayangi ketakutan, kerisauan dan kebimbangan.

“Tetapi, kini kehidupan masyarakat kita sudah jauh berbeza. Kehidupan bertambah senang, keadaan aman damai, membolehkan semua orang bergerak bebas di mana sahaja mereka pergi tanpa rasa takut dan bimbang.

“Bagi saya inilah erti kemerdekaan sebenar yang tidak dapat dinilai dengan wang Ringgit mahupun emas permata,” katanya.

Keamanan dan perpaduan yang dinikmati rakyat pelbagai kaum di negara ini adalah hasil kemerdekaan dan perjuangan serta kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang telah merintis jalan menuju kecemerlangan.

"Oleh itu, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini harus bersatu hati mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara yang kita nikmati selama ini.

"Peristiwa pencerobohan Lahad Datu awal tahun ini seharusnya membuka mata rakyat Malaysia, terutama generasi muda tentang pentingnya memelihara dan mempertahankan suasana aman damai di negara kita," katanya sambil berharap isu pencerobohan pengganas Sulu tidak berulang lagi.

Esscom Menjaga Kedaulatan Negara

Emin berkata sebagai bekas pejuang dalam pasukan keselamatan negara, langkah kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) adalah tindakan yang bijak dan wajar disokong semua pihak.

Emin berharap penduduk Sabah akan turun beramai-ramai bukan sahaja bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia itu tetapi juga sebagai menunjukkan sokongan bagi langkah-langkah yang diambil kerajaan persekutuan untuk memulihara kedaulatan Sabah. - Bernama

No comments:

Post a Comment