KHIDMAT bekas kapten, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor ditagih skuad hoki negara selepas namanya disenaraikan antara 30 pelatih bagi menghadapi tiga kejohanan sehingga hujung tahun ini.
Sebelum ini, Madzli, 34, telah mengumumkan persaraannya selepas Malaysia gagal dalam kempen Kelayakan Olimpik 2012 di Dublin pada Mac tahun lalu.
Namun, prestasi cemerlang pemain Tenaga Nasional berhad (TNB) itu dalam saingan Liga Hoki Malaysia serta pengalamannya beraksi 322 kali di pentas antarabangsa telah berjaya menambat hati ketua jurulatih, Paul Revington.
"Sejujurnya selepas saya dilantik menjadi jurulatih, Madzli pernah dipanggil ke dalam skuad negara, namun dia meminta untuk digugurkan kerana ada komitmen lain.
"Namun, hakikatnya dia masih lagi cergas dan masih boleh beraksi kerana memiliki pengalaman dalam lebih 300 penampilan antarabangsa, selain dalam keadaan fizikal yang baik, bekerja keras ketika latihan dan juga prestasi yang bagus bersama TNB.
"Usia 34 tahun tidak banyak memberi kesan terhadap permainannya, lebih-lebih lagi bagi seorang pemain yang beraksi di posisi pertahanan.
"Justeru, saya bersetuju untuk memberinya satu lagi peluang membuktikan kemampuan sebenarnya," jelas Revington dalam sidang akhbar di Bukit Jalil, semalam.
Madzli atau dikenali sebagai Dod oleh rakan-rakannya, memiliki lesen kejurulatihan Tahap Satu serta pernah menjadi jurulatih skuad Bawah 14 Tahun negara dalam Kejohanan Kebangsaan pada November tahun lalu.
Dia turut menjadi pembantu jurulatih pasukan Thunderbolts (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) yang muncul juara Liga Hoki Remaja Kebangsaan tahun ini.
Revington turut menyenaraikan semula beberapa bekas pemain veteran serta pemain remaja yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala Tun Razak minggu lepas.
Antara pemain veteran yang dipanggil semula adalah Engku Abd. Malik Engku Mohamad, 29, Ismail Abu, 29, Megat Azrafiq Megat Termizi, 29, S. Selvaraju, 28 dan Hafifi Hafiz Hanafi, 27.
Bekas kapten skuad Projek 2013 negara, Muhd. Noor Faeez Ibrahim, 22, turut dipanggil semula bersama-sama Amirullah Zainol, 22, Amir Farid Ahmad Fauzi, 22, dan Harvinder Singh, 23.
Skuad negara akan menyertai Super Siri Perth (sembilan sepasukan) pada 17 hingga 20 Oktober, diikuti Trofi Juara-Juara Asia di Kakamigahara, Jepun (1 hingga 10 November) serta Sukan SEA 2013 Myanmar (11 hingga 22 Disember).
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/Rujukan Kosmo online 21.9.13
No comments:
Post a Comment