Ad

Sunday, 22 September 2013

10 minit di laluan Rafah-Gaza





NUR SAKINAH HANANI MOHD. AZMI atau lebih mesra dengan panggilan Nani ialah remaja yang berperwatakan pendiam dan pemalu.
Namun, gadis yang berumur 16 tahun ini menyimpan memori yang kekal dalam ingatannya. Empat bulan lalu, dia pernah melalui pengalaman mendebarkan apabila terpaksa menyusuri terowong maut dari Mesir ke Gaza dengan hanya ditemani oleh rakan bapanya yang dikenali sebagai Sani Araby al-Kahery atau lebih mesra dengan panggilan Abang Sani.
Pengalaman berharga selama 10 minit itu diabadikan Nani di dalam sebuah novel berbahasa Melayu setebal 107 muka surat bertajuk, The Tunnel Girl untuk dikongsi bersama pembaca.
Memetik satu perenggan di dalam novel tersebut, Nani menulis: "Kini aku hanya dapat merasa tidak lebih dari sekitar 10 minit berada dalam terowong. Secebis rasa azab, sekelumit rasa sempit, sepintas rasa ngeri, sedetik rasa takut dan setitik rasa derita. Yang sedikit daripada sebuah kesengsaraan yang sudah berlarutan sejak 1948."
Nani telah merasai berjalan dalam terowong berlantaikan pasir dan lampu mentol dengan nyawa menjadi taruhan.
Namun bagi Nani, pengalaman yang dilaluinya itu bukanlah tandingan kepada penderitaan rakyat Palestin yang dizalimi tentera Israel sejak sekian lama.
Pengalaman berharga Nani itu bermula apabila dia bersama ibu bapa, Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Masadah Sajadi masing-masing berusia 57 tahun serta kakaknya, Ilham Syatirah, 24, mengikuti rombongan Program Ziarah Gaza, Mesir dan Umrah pada Mei lalu.

WANITA Palestin di Beit Lahia, utara Gaza menggunakan keldai sebagai pengangkutan.


Pertama kali
Program itu merupakan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Puji Travel & Tour bersama Ahli Jawatankuasa dan Jamaah Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor. Bapa Nani iaitu Mohd. Azmi ialah Presiden Mapim.
Menurut Nani, pada mulanya dia tidak merancang untuk menyertai rombongan itu kerana terikat dengan pelajaran, namun selepas mengetahui jadual rombongan itu jatuh pada cuti persekolahan selama dua minggu, dia turut serta.
"Alhamdulillah, ayah bersetuju dengan cadangan saya pergi bersama dan saya berasa amat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke luar negara," katanya ketika ditemui di Kiosk Palestin di SP Plaza, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Perjalanannya bersama lebih 80 peserta rombongan berjalan lancar. Rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir pada 24 Mei lalu sebelum meneruskan perjalanan ke pejabat imigresen Mesir untuk urusan masuk ke Gaza.
"Segala-galanya lancar sehinggalah saya dan seorang peserta rombongan yang dikenali sebagai Abang Sani menerima berita buruk apabila prosedur untuk masuk ke Gaza tidak mendapat kelulusan. Ini bermakna rancangan untuk masuk ke Gaza gagal.
"Pada saat itu, hati saya berdebar kencang dan air mata mula bergenang memikirkan saya sebagai peserta termuda akan ditinggalkan di situ bersendirian bersama Abang Sani," ujarnya.
Cerita Nani lagi, keadaan menjadi kalut apabila dia dan Abang Sani diminta keluar dari bangunan imigresen itu segera kerana pejabat sudah mahu ditutup. Sementara, peserta rombongan lain termasuk ibu bapa dan kakaknya diarah meneruskan perjalanan kerana pasport sudah dicop pegawai imigresen.
"Ayah bertegas tidak mahu meninggalkan saya tetapi disebabkan peraturan imigresen yang ketat, ayah terpaksa pergi. Ketika itu seorang pelajar Palestin yang tinggal di Malaysia yang juga salah seorang peserta rombongan mencadangkan saya dan Abang Sani masuk ke Gaza melalui terowong.
"Saya tidak lagi dapat memikirkan apa-apa dan tidak dapat menggambarkan rupa terowong tersebut," ujarnya.
Nani terus mengekori Abang Sani keluar dari bangunan imigresen itu dan menuju ke lokasi yang tidak diketahuinya.

Sani Araby Al-Kahery dan Nani pernah melalui terowong penyeludupan ini sewaktu terkandas di pejabat imigresen Mesir.


Gelagat orang Arab
Menurut Nani, sepanjang perjalanan suasana persekitaran terasa begitu asing. Antaranya gelagat beberapa orang Arab yang bertengkar sesama mereka dan kereta kebal di sana sini sebelum sebuah kereta menghampiri mereka.
Selepas Abang Sani berbincang sesuatu dengan pemandunya, Nani masuk ke dalam kereta. Mereka kemudiannya dibawa ke sebuah rumah. Di rumah tersebut sudah ada empat orang yang sedang menunggu mereka.
Setelah melangkah masuk ke rumah tersebut, Nani begitu terkejut kerana rumah kosong itu hanya mempunyai sebuah lubang besar dan tangga di lantai.
Pada masa itu perasaannya bercampur baur. Rasa cemas, takut dan bimbang tiba-tiba bersarang di dalam hati. Nani memikirkan nyawanya boleh melayang pada bila-bila masa saja kerana terowong penyeludupan ke Gaza itu menjadi sasaran bedilan bom Israel.
Meskipun perasaan takut menyelubungi anak bongsu daripada tujuh beradik itu, Nani memberanikan diri kerana keluarganya sedang menunggu di Gaza.
Ditemani seorang pemandu arah, Nani mengekori Sani. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa sekitar 10 minit itu mereka hanya mendiamkan diri.
Hasil pemerhatian Nani, terowong itu hanya diterangi cahaya mentol yang diletakkan di sepanjang jalan. Lebarnya hanya cukup untuk dua orang berselisih.
"Di kiri dan kanan dinding terowong dilekatkan papan dan tiada kayu penyangga. Ini bererti terowong ini mudah runtuh.
"Kami tidak tahu panjang sebenar terowong ini dan yang pasti ia amat mengerikan jika ia terlalu panjang," luahnya.
Pasport diperiksa
Sepanjang perjalanan itu, mereka berselisih dengan beberapa lelaki Arab yang memberi salam.
Perjalanan yang penuh mendebarkan itu berakhir apabila Nani terlihat kelibat seseorang di penghujung terowong. Perasaannya ketika itu amat gembira kerana individu tersebut merupakan salah seorang peserta rombongan yang menanti mereka di hujung terowong.
Meskipun melalui terowong, Nani perlu menjalani prosedur yang sama seperti memasuki negara asing. Di hujung terowong pasportnya diperiksa sebelum dia dibawa bertemu kedua-dua ibu bapa dan kakak bersama peserta rombongan lain di sebuah restoran di Gaza.
"Bermula dari saat itu, ayah mula menggelarkan saya sebagai gadis terowong," ujarnya sambil tersenyum.
Di Gaza, Nani dan rombongannya dibawa melawat ke tapak pertanian Green House. Ia merupakan projek tanaman yang berjaya dibangunkan dengan bantuan dana rakyat Malaysia melalui Salimah Malaysia, Orang Kota Bharu dan Mapim.
Rombongan juga sempat menziarahi pejuang-pejuang Palestin yang syahid. Para syuhada menjadi inspirasi perjuangan rakyat Gaza seperti As-Syahid Ahmed Ismail Hasan Yassin dan As-Syahid Abdul Aziz Rantisi.

MENGABADIKAN kenangan bersama ibu, Masadah berlatar belakang piramid di Kaherah.



Acara kemuncak program mereka ialah perasmian Masjid Umar Abdul Aziz oleh Perdana Menteri Gaza, Dr. Ismail Haniyeh. Masjid itu merupakan yang kedua dibangunkan Mapim.
Usai kembara di Gaza, hati Nani kembali berdebar apabila dia dan Sani perlu menyusuri sekali lagi terowong maut itu untuk pulang ke Mesir.
"Terowong yang sama akan kami lalui untuk ke Mesir dan suasananya tidak jauh berbeza berbanding empat hari lalu. Alhamdulillah perjalanan lancar dan kami bertemu semula kumpulan rombongan di Mesir," katanya.
Menurut Nani, terdapat lebih 1,000 terowong yang menghubungkan Mesir dengan Gaza. Ada antara terowong yang boleh dilalui oleh lori dan haiwan ternakan bagaimanapun kebanyakannya telah dimusnahkan Israel dengan bom.
"Melalui terowong ini bukan sahaja berbahaya, bahkan kami dikenakan bayaran tertentu dan laluan maut ini merupakan satu keperluan yang sangat penting kepada rakyat Palestin. Ia merupakan nadi ekonomi Gaza," ujarnya.
Menurut Nani, tidak pernah sedikit pun terlintas dalam fikirannya untuk membukukan pengalaman melalui terowong tersebut sehinggalah seorang peserta rombongan memberikan idea.
Penulis dan penceramah motivasi, Mejar Mohammad Qayyum A. Badaruddin, 45, memintanya berkongsi pengalaman itu dengan pembaca.
Berkat sokongan keluarga terutama bapa, novel tersebut dapat disiapkan dalam masa tiga minggu. Novel itu mengandungi 18 bab. Ia dijual pada harga promosi RM10, manakala harga sebenar di Semenanjung Malaysia ialah RM12.50, Sabah dan Sarawak RM13.50.
Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan novel The Tunnel Girl pada harga promosi RM10 boleh menghubungi ibu Nani, Masadah Sajadi di talian 012-4753 245.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo.18.9.2013

No comments:

Post a Comment