Ad

Saturday, 21 September 2013

NS elak tersingkir awal

NEGERI Sembilan wajib melakar kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan C menentang Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Pengendali sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah berharap anak-anak buahnya menunjukkan semangat yang tinggi bagi meraih tiga mata berharga.
Atas kertas, Negeri Sembilan akan layak secara automatik ke peringkat kalah mati sekiranya berjaya menumbangkan Terengganu yang sudah tersingkir dalam kempen kali ini.
Negeri Sembilan kini menghuni tangga ketiga Kumpulan C apabila mengutip tujuh mata, ketinggalan satu mata di belakang dua pasukan teratas, Pahang dan Kelantan.
"Perlawanan kali ini boleh diumpamakan hidup dan mati pasukan untuk meneruskan misi merebut slot suku akhir Piala Malaysia.
"Para pemain tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan, sekali gus melayakkan diri ke peringkat seterusnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Ridzuan, beliau mahu semua pemain memberikan komitmen penuh dalam perlawanan tersebut dan bermain mati-matian bagi mencatatkan kemenangan.
"Saya nasihatkan pemain supaya segera melupakan kekalahan di tangan Pahang baru-baru ini dan berusaha lebih keras bagi membaiki kelemahan yang ada.
"Bagi saya perlawanan ini umpama peluang kedua untuk para pemain dan juga pasukan menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu piala," jelasnya.
Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Ridzuan memberitahu, semua pemain utama cergas untuk diturunkan malam ini.
"Kita tidak menghadapi masalah kecederaan dan saya yakin barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti mampu membawa cabaran pasukan, sekali gus mencatatkan kemenangan," katanya.
Beliau juga menyeru para penyokong setia Negeri Sembilan turun beramai-ramai ke stadium malam ini bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak buahnya.
"Ketika ini pasukan amat memerlukan sokongan daripada para peminat semua dan saya berharap dengan sokongan tidak berbelah bagi daripada penyokong, para pemain akan menjadi lebih bersemangat," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo 21.9.13

No comments:

Post a Comment