Ad

Thursday 19 September 2013

Rashid letak jawatan


Rashid Sidek
KUALA LUMPUR - Demi maruah dan enggan terus dilayan seperti ‘pekerja kelas rendah‘, jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat iaitu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas 10 tahun berbakti buat skuad kebangsaan.
Semalam, Rashid, 45, mengejutkan BAM apabila menghantar surat peletakan jawatan dengan sebulan notis.
Apa yang lebih membimbangkan, khabar kini bertiup kencang bahawa tindakan Rashid bakal disusuli oleh beberapa lagi jurulatih kebangsaan.
Bukan penstrukturan semula dalam kejurulatihan yang terlalu menganggu barisan jurulatih kebangsaan ketika ini, tetapi campur tangan keterlaluan daripada beberapa orang kepercayaan Presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang menyebabkan mereka hilang sabar.
“Hampir semua jurulatih kebangsaan tidak gembira dengan keadaan sekarang. Mereka ini (orang kepercayaan Presiden) berada di gelanggang latihan pada setiap hari untuk mengajar kami bagaimana hendak melatih pemain.
“Bukan kami tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima pandangan, tetapi kalau mereka datang setiap hari hanya untuk mencari kesalahan jurulatih itu saya memang tidak boleh bertoleransi.
“Kami bukan baru sehari dua jadi jurulatih, tak akan sampai cara kami pukul bola pun hendak ditegur. Sampai sekecil-kecil perkara pun nak dipersoalkan, seolah-olah jurulatih ini tak pandai langsung pasal badminton.
“Mereka juga ada kuasa untuk tukar program kami sesuka hati, tukar teknik latihan, cara latihan atau apa saja yang mereka mahu sesuka hati. Kami (jurulatih) tidak ada kuasa langsung hendak buat apa-apa, pemain pun dah tak hormat jurulatih sebab kami tak ada kuasa.
“Ramai yang tidak gembira sekarang... Cuma mereka tak berani hendak cakap kerana jaga periuk nasi dan ada juga yang hanya tunggu masa hendak bertindak. Saya cakap tak mengapa biar saya buat macam ini, sekurang-kurangnya orang lain buka mata.
“Saya kasihan dengan rakan-rakan jurulatih, sebab pengurusan baharu ini pandang kami macam buruh kelas bawahan. Kalau ada hierarki, kami paling rendah sekali dan macam tidak ada nilai," kata Rashid.
Rashid, yang menyertai BAM pada 2003 turut menambah, beliau tidak tahu, apakah kehebatan ‘orang-orang‘ kepercayaan Presiden ini dan atas dasar apa mereka diberi terlalu banyak kuasa sehingga boleh menganggu program latihan pemain.
Tegasnya lagi, di China sekali pun, ketua jurulatih terhebat mereka, Li Yongbo tidak pernah sesekali menganggu cara latihan jurulatih di bawahnya, sebaliknya beliau hanya memantau serta merancang program bersama mereka.
“Saya tidak mahu sebut nama, lagipun kalau saya sebut nama nanti anda tanya, siapa orang ini hebat sangat ke macam Li Yongbo. Orang hebat macam Yongbo itu pun tak pernah kacau kaedah latihan jurulatih kerana setiap jurulatih ada cara mereka sendiri.
“Sebenarnya apa yang dilakukan jurulatih tiada salahnya, cuma disebabkan cara mereka tidak sama dengan cara orang-orang ini, itu akan menjadi satu kesalahan buat mereka. Kita bukan berurusan dengan budak-budak sekolah, kita bercakap tentang jurulatih kebangsaan," kata Rashid.
Menurut Rashid, beliau harap dengan tindakan drastik yang diambilnya akan ‘menyelamatkan‘ rakan-rakan seperjuangan daripada terus diperkotak-katikkan atau lebih membimbangkan, BAM bakal kehilangan lebih ramai jurulatih.
Katanya, biarpun sayang dengan anak-anak didiknya seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng, namun beliau percaya Tey Seu Bock boleh melatih mereka dengan baik.
Khamis lalu, BAM mengumumkan perubahan drastik dalam struktur kejurulatihan mereka dengan memecahkan pemain kebangsaan kepada tiga kumpulan - elit, pelapis dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong membawa bekas ketua jurulatih kebangsaan, Razif Sidek untuk mengetuai Kumpulan Elit, di mana Rashid, Seu Bock dan Zhou Kejian berada di bawahnya untuk mengendalikan pemain perseorangan lelaki.
Bekas juara dunia, Hendrawan pula mengetuai Kumpulan Pelapis,yang turut dibarisi oleh Wong Tat Meng (jurulatih perseorangan lelaki) dan Rosman Razak (jurulatih beregu lelaki).
Sementara itu, Aik Mong ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan Rashid, sebaliknya menegaskan semua akan dijawab pada sidang akhbar tergempar yang akan diadakan hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130920/su_01/Rashid-letak-jawatan#ixzz2fOrG5laL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment