|
SIASATAN terhadap tuduhan rasuah membabitkan pasukan Perak sampai ke kemuncaknya apabila ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam.
Azraai yang memandu sendirian kereta Myvi berwarna jingga masuk ke kompleks agensi berkenaan kira-kira pukul 3 petang.
Namun, pada pukul 4.20 petang, Azraai dilihat keluar dari kompleks terbabit ke satu lokasi menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama tiga pegawai SPRM.
Azraai kemudiannya masuk semula ke bangunan tersebut pada pukul 5.40 petang.
Sehingga pukul 9.30 malam semalam, Azraai masih berada di pejabat SPRM dan usaha menghubunginya tidak membuahkan hasil.
Sumber SPRM Perak pula ketika dihubungi memaklumkan proses mengambil keterangan daripada Azraai selesai sebelum tengah malam tadi.
“Kita telah ambil keterangan semua pemain dan (keterangan) Azraai masih direkodkan. Beliau akan dibenarkan pulang selewat-lewatnya malam ini (semalam),” katanya.
Terdahulu, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha diikuti pemain tengah, M. Yoganathan serta pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat dilihat masuk untuk memberi keterangan.
Shahrulnizam ketika ditemui selepas memberi keterangan berkata, siasatan itu tidak menjejaskan tumpuannya dan barisan pemain Perak yang lain.
“Siasatan kes ini tidak mengganggu tumpuan kami untuk menghadapi perlawanan.
“Pada saya, kalau mereka (SPRM) panggil beri keterangan, kita bagi kerjasamalah,” katanya yang mengakui memberi keterangan lebih empat jam bermula pukul 2 petang hingga 6.15 petang.
Ditanya mengenai siasatan terhadapnya, Shahrulnizam menjelaskan, SPRM meminta dia memberi reaksi berdasarkan pengamatan prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Mereka tanya ada rasa apa-apa atau nampak apa-apa,” katanya.
Kelmarin, 12 pemain Perak selain penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan masing-masing.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa Isnin lalu.
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/26.9.2013
No comments:
Post a Comment