Ad

Sunday, 15 September 2013

Everton beri Mourinho kekalahan pertama

Steven Naismith (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, semalam. Everton menewaskan Chelsea 1-0. - AFP
LIVERPOOL - Chelsea terlepas peluang untuk menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-1 kepada Everton pada aksi, semalam sekali gus menjadi kekalahan pertama skuad bimbingan Jose Mourinho pada musim ini selepas kembali semula ke England.
Pada perlawanan tersebut, tandukan pemain Everton, Steven Naismith pada minit ke-45 di Goodison Park menjadi hadiah hari lahir paling bermakna untuk diberikan kepada bos baharu kelab itu, Roberto Martinez yang menggantikan David Moyes.
Malah, keputusan tersebut juga membolehkan Everton kekal dengan status tanpa kalah sekali gus dapat meneruskan kecemerlangan ketika berada di bawah bimbingan Moyes yang ketika ini menjadi pengurus baharu Manchester United.
Sementara itu, kekalahan Chelsea pada aksi tersebut membingungkan Mourinho yang perlu memastikan kelab tersebut berupaya memperoleh gelaran pada musim ini terutama dalam kempen Liga Juara-Juara.
"Saya tidak tahu adakah perlu saya katakan kami tidak memerlukan kekalahan atau kami memang perlukan keputusan sebegini.
"Kami adalah pasukan yang terbaik dan bermain dalam permainan yang bagus kerana mendominasi keseluruhan perlawanan selain melakukan 21 percubaan, malah kami juga amat memerlukan kemenangan.
"Kami turut hampir untuk mendapatkan jaringan menerusi 21 percubaan tersebut, namun kesilapan yang dilakukan pada minit terakhir separuh masa pertama menjerat kami," kata Mourinho.
Dalam pada itu ketika diminta untuk memberikan ulasan berhubung pemain yang baharu ditandatangani Chelsea, Samuel Eto'o, Mourinho memberitahu tidak adil buatnya untuk menilai seorang pemain sahaja tanpa melihat keseluruhan pasukan.
"Eto'o masih memerlukan masa untuk mendapatkan rentaknya semua.
"Kami banyak terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan menerusi pemain itu dan saya tidak berminat untuk mengkritik dirinya kerana penjaga gol dan pertahanan turut melakukan kesilapan.
"Saya lebih berminat untuk membuat analisis penuh perlawanan ini dalam dua perspektif berbeza," kata Mourinho.
Chelsea, dijadual memulakan kempen Liga Juara-Juara menentang FC Basel di laman sendiri pada Rabu ini. - AFP

Rujukan : Utusan online
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20130916/sl_01/Everton-beri-Mourinho-kekalahan-pertama#ixzz2f19bCwub
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment