Ad

Saturday, 14 September 2013

Lembaran baharu sejarah - TPM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak diberi penerangan oleh Presiden Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim (tiga, kanan) semasa melawat ruang pameran dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, semalam. Turut sama, Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Kanan KRU Studio, Yusry Abdul Halim (empat, kanan). - BERNAMA
SHAH ALAM 14 Sept. - Lima agenda utama memperkasa ekonomi bumiputera yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan sentiasa mengambil perhatian dan tumpuan khusus terhadap agenda yang bersifat inklusif itu.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat agenda tersebut sebagai suatu lembaran baharu dalam sejarah perjuangan Barisan Nasional (BN) khususnya kepada masyarakat bumiputera.
Malah jelasnya, agenda berkenaan merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan dan 'lahir' daripada respons kerajaan terhadap suara-suara yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat bumiputera secara keseluruhannya.
''Apa yang disuarakan terutamanya tentang pentingnya kerajaan khususnya pimpinan UMNO memberikan perhatian lebih khusus untuk membela bumiputera dalam bidang pembangunan ekonomi. Bagi saya, ini adalah hari bertuah dan ditunggu-tunggu.
"Ketegasan Perdana Menteri bahawa kita tak akan apologetik atau merasa bimbang jika ada pihak lain, sama ada bukan bumiputera atau masyarakat antarabangsa melihat ini sebagai suatu yang bersifat kumpulan tertentu. Bagi kita yang penting adalah agenda bumiputera. Ketegasan dan keberanian Perdana Menteri ini adalah sangat kita sanjung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang disempurnakan Perdana Menteri di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Lima teras agenda memperkasa ekonomi bumiputera yang diumumkan Najib itu adalah mendaya modal insan bumiputera; memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat; memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera; memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.
Muhyiddin berkata, lima teras berkenaan merupakan sebahagian daripada beberapa perkara penting yang difikirkan perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan.
"Pembentukan beberapa badan termasuk Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipimpin Perdana Menteri dan saya sebagai timbalannya tentulah akan meningkatkan lagi martabat perjuangan ekonomi bumiputera kepada suatu paras tertinggi. Apalagi urus setianya akan dipimpin oleh yang berwibawa dan bertaraf menteri yang mampu menentukan setiap agenda ini dapat disempurnakan.
"Saya bincang dengan Perdana Menteri, pertamanya fasa yang berikut ini, sampai 2020, bermakna dalam tempoh tujuh tahun ini kita nak lihat penguasaan bumiputera dalam semua bidang ekonomi akan meningkat.
"Saya kira mungkin bukan setakat 30 peratus seperti disebut dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi lebih tinggi daripada itu, bagaimana (seperti) wasiat raja-raja Melayu iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus penguasaan kekayaan dalam negara kita dikuasai Melayu dan bumiputera," ujarnya.
Atas dasar itu jelasnya, pada tahap ini, apa yang penting adalah bagaimana rancangan serta agenda berkenaan dapat diterjemahkan dengan sempurna.
"Tetapi oleh kerana beliau (Najib) yang memimpin dan saya bantu, saya yakin kita boleh melaksanakannya," tegas beliau.
Beliau kemudiannya menggesa masyarakat bumiputera supaya memberi respons yang baik terhadap perjuangan agenda tersebut.
"Sudah tentu kita nak lihat dalam tempoh yang begitu singkat ini, (berlaku) peningkatan ketara, baik dalam pegangan ekuiti, penguasaan aset, peningkatan modal insan (dalam kalangan bumiputera) dan tentulah UiTM sebagai contoh, adalah sebuah universiti yang kita harap akan meningkatkan lagi jumlah penuntut kepada 250,000 orang seperti disebut Perdana Menteri," katanya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130915/dn_03/Lembaran-baharu-sejarah---TPM#ixzz2evUjQc9p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment