Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SAFEE (dua dari kanan) dijangka tidak dapat membantu Johor DT berdepan Felda United pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam ini.
PELEDAK sensasi negara, Mohd. Safee Sali enggan memikirkan spekulasi berhubung masa depannya yang dikatakan bakal menyertai pasukan Liga Premier, Johor musim depan.
Sebaliknya, Safee fokus mahu membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) mengharungi saingan Piala Malaysia 2013 terlebih dahulu sebelum kontraknya sebagai pemain pinjaman bersama pasukan itu tamat November ini.
Safee berkata, setakat ini dia masih belum menerima sebarang ‘hitam-putih’ daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung perkara itu.
“Saya masih belum menerima makluman daripada PBNJ. Jadi, saya menganggap (penghijrahan ke Johor) hanya satu khabar angin.
“Buat masa ini, saya komited bersama Johor DT selagi khidmat saya diperlukan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Polemik berhubung masa depan Safee dengan Johor DT mula tercetus ekoran kehadiran dua penyerang import, Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez bersama pasukan itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim menasihatkan mana-mana pasukan yang berminat melamar Safee supaya menghubungi pihak pengurusan Arema Indonesia terlebih dahulu.
Ini kerana, menurut beliau, Safee masih memiliki kontrak bersama Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya) sehingga Februari tahun depan.
Safee, 29, yang memulakan kariernya bersama pasukan Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor kemudiannya berhijrah ke Arema Indonesia pada 5 Februari 2011 sebelum muncul penjaring terbanyak kelab itu dengan 20 gol musim lalu.
Sebaik kontraknya tamat pada 31 Januari 2012, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan bernilai lebih RM2 juta bersama kelab Indonesia itu sebelum disunting Johor DT menerusi pinjaman awal musim ini.
Dalam pada itu, Safee mengesahkan tidak dapat membantu Johor DT berdepan Felda United dalam aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Temerloh malam ini.
“Saya mengalami kecederaan baharu di lutut kanan dan memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk pulih sepenuhnya,” jelasnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz2f9IwyEKI Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment