Ad

Sunday 22 September 2013

Rakyat bersatu hati bantah


SEBAHAGIAN daripada 300 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengadakan demonstrasi membantah cubaan pihak tertentu untuk membawa abu mayat Chin Peng pulang ke negara ini, di Muzium Polis Bukit Kepong, Muar, semalam.
MUAR 22 Sept. - Kira-kira 300 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik hari ini mengadakan demonstrasi membantah cubaan pihak tertentu untuk membawa abu mayat Chin Peng pulang ke negara ini.
Piket secara aman di Muzium Polis Bukit Kepong, dekat sini itu disertai pelbagai kaum dan diadakan di tapak bersejarah itu sebagai simbolik kekejaman komunis dalam insiden berdarah peristiwa Bukit Kepong.
Antara pihak yang terlibat ialah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar, Persatuan Kepolisan Komuniti Bukit Indah, Nusajaya dan Persatuan Kami Organisasi Gabungan Anak Pagoh (Kogap) serta sayap-sayap utama UMNO, MCA dan MIC.
Mereka membawa kain rentang dan sepanduk, antaranya tertera ayat Chin Peng Pengkhianat Negara, Chin Peng Bukan Pejuang Negara dan Penderhaka Negara Tidak Ada Tempat di Negara Kita’.
Penganjur perhimpunan, Yap Ken Tak berkata, pihaknya mengadakan perhimpunan di situ supaya rakyat sedar tentang keganasan komunis dan mereka menyokong tindakan kerajaan tidak membenarkan jasad atau abu mayat Chin Peng dibawa pulang atas apa juga alasan sekalipun.
“Lokasi ini sangat bermakna kerana pada 1950 seramai 33 anggota polis dan keluarga mereka terkorban di sini. Kami juga marah dan kecewa kerana ada parti politik mengatakan Chin Peng itu adalah pejuang negara," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Kepolisan Komuniti Bukit Indah berkata, kerajaan tidak perlu melayan tuntutan atau desakan yang dibuat kerana keganasan komunis tidak boleh dimaafkan apabila mereka bukan sahaja membunuh pasukan keselamatan, tetapi juga orang awam.
Sementara itu, seorang pesara tentera berpangkat sarjan, Mokhtar Buang, 68, berkata, dia menyaksikan banyak keganasan dilakukan komunis pada tahun 60-an dan 70-an dalam beberapa pertempuran seperti di Bintangor (Sarawak), Sintok (Kedah) dan Keroh (Perak).
Menurutnya, di Sintok enam anggota tentera terbunuh apabila diserang hendap dan dia bersama rakan sepasukan terpaksa menggunakan kereta perisai untuk mengambil jenazah mangsa yang ditinggalkan dua hari di situ.
“Di Keroh, 16 perajurit iaitu polis hutan atau sekarang dipanggil Pasukan Gerakan Am dibunuh pengganas terbabit dan peristiwa itu masih tidak dapat saya lupakan," katanya.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130923/dn_03/Rakyat-bersatu-hati-bantah#ixzz2fh9kfzPG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment