PARA pemain The Red Warriors diingatkan supaya melupakan isu perpindahan pemain pasukan berkenaan yang sedang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi sebaliknya mahu rakan-rakan sepasukan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan hidup mati menentang Terengganu pada saingan peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Mohd. Badhri berkata, berdepan dengan seteru tradisi itu, mereka perlu menang jika mahu memastikan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya kembali cerah.
"Saya harap rakan-rakan sepasukan tidak terlalu memikirkan soal perpindahan pemain yang sedang hangat diperkatakan, sebaliknya fokus terhadap kempen Piala Malaysia.
"Saya akui isu ini mungkin menganggu emosi rakan-rakan sepasukan. Apa cara sekali pun kita harus menang dan saya tidak mahu penyokong menganggap isu perpindahan pemain menjadi punca kekalahan Kelantan pada perlawanan tersebut," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Dia turut mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya tidak mengambil mudah kemampuan Terengganu yang diperkuatkan dengan beberapa tonggak utamanya iaitu Asahari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, Jean Effa Owana dan G. Puaneswaran.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, sebuah pasukan yang kini bersaing dalam Piala Malaysia didakwa terlibat dengan perjanjian 'pintu belakang' untuk memancing tiga tonggak utama pasukan The Red Warriors.
Menurut sumber, pasukan tersebut telah melakukan perjanjian dengan tiga pemain terbabit bagi mencapai misi mereka untuk menjadi juara dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Mengulas peluang pasukannya dalam saingan Piala Malaysia musim ini, Mohd. Badhri tetap optimis Kelantan mampu melangkah ke pusingan seterusnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz2f1PE6de9
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment