Ad

Friday 20 September 2013

Tiada kompromi lantik jurulatih


HAMIDIN



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dalam usaha melantik jurulatih baharu Harimau Malaya selepas ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, badan induk itu bersedia membuat pelaburan besar termasuk mendapatkan jurulatih asing sekiranya ia membawa kebaikan terhadap kemajuan Harimau Malaya.
Ini kerana menurut beliau, setiap pelaburan memainkan peranan yang penting terutamanya apabila membabitkan kos yang tinggi bagi mendapatkan khidmat jurulatih asing.
“FAM tidak akan berkompromi daripada segi kualiti, jika mahu menggantikan jurulatih (Datuk K. Rajagobal), calon itu perlulah lebih baik dan berwibawa.
“Jika ia boleh membawa kebaikan (khidmat jurulatih asing), tidak salah kerana ia salah satu pilihan yang dimiliki FAM bagi meningkatkan mutu pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Watsons Piala Malaysia di Renoma Cafe Gallery, Bukit Bintang di ibu kota semalam.
Masa depan Rajagobal sebagai ketua jurulatih menimbulkan tanda tanya sekiranya beliau gagal membantu Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 sebaik kontraknya tamat pada 31 Disember depan.
Spekulasi pengganti Rajagobal semakin tersebar luas apabila FAM mengesahkan telah menerima permohonan daripada tiga pengendali bertaraf dunia yang berminat mengisi jawatan tersebut.
Selain bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier, turut berada dalam radar FAM termasuklah bekas jurulatih skuad utama Liverpool, Alex Miller selain legenda Jerman, Rudi Voller.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, pihaknya juga menyokong penuh saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya memenuhi tuntutan mana-mana jurulatih asing termasuk gaji yang tinggi.
“Jika ia dipersetujui Ahli Jawatankuasa FAM, tidak timbul masalah.
“Kami akan mengkaji kewangan dan kemampuan FAM terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Jika perlu, FAM akan beriktiar mendapatkan sumber kewangan (bagi membayar gaji jurulatih asing),” jelas beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo.20.9.13

No comments:

Post a Comment