Doa berfungsi sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah SWT. Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana Allah tidak akan mempersia-siakan permohonan mereka.
Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.” (Riwayat Tirmizi)
Imam al-Ghazali berkata: “Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah seperti mana perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”
Allah tidak menzalimi manusia
Semuanya menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia, malah sebaliknya manusia diberi kebebasan menentukan jalan hidupnya sendiri.
Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang Allah SWT tetapkan sejak awal lagi kerana Dia mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.
Allah berfirman bermaksud: “Keputusan di sisi-Ku tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu.” (Surah Qaaf, ayat ke-29)
Imam al-Ghazali berkata: “Jika ada orang bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan berdoa. Maka doa menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan adanya rahmat Allah seperti mana perisai menjadi sebab bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.”
Syed Sabiq dalam kitabnya al-Aqaid al-Islamiyah berkata: “Imam al-Khathabi berkata: Ramai orang mengira qada dan qada adalah paksaan Allah ke atas hamba-Nya dan manusia hanya mengikut apa yang ditetapkan Allah. Sebenarnya pandangan seperti ini salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui mengenai kejadian akan berlaku berhubung semua perkara. Pengetahuan Allah terhadap sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya apabila Allah menginginkan sesuatu dengan kata-kata jadi maka jadilah ia seperti apa yang diinginkan.” (Surah Yasin, ayat 82)
Pada zaman Saidina Umar al-Khattab, seorang lelaki ditangkap kerana mencuri dan beliau dibawa menghadap khalifah. Lelaki itu disoal: “Mengapa kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: Kerana Allah mentakdirkan ini ke atas diri saya.”
Khalifah Umar amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya. Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: Mengapa hukumannya begitu berat?”
Berkata Umar al-Khattab: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.
Rahsia kehidupan
Kesimpulannya, kehidupan ini mempunyai rahsianya tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan.
Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana semua itu dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia.
Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur.
Mengikut sebuah riwayat sahih, Khalifah Umar enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah bertanya kepada Umar: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan? Umar menjawab: Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh at-Tabari)
Menyerahkan semua perkara kepada takdir adalah bertentangan dengan kehendak Islam yang menginginkan umatnya maju dan berjaya. Mereka yang benar-benar menyerah adalah orang yang yakin bahawa ketentuan Allah SWT adalah lebih baik daripada kehendak hatinya sendiri.
Marilah kita reda dan berbaik sangka dengan Allah SWT dan percaya terhadap qada dan qadar tanpa ragu-ragu. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT memilih kita menjadi hamba-Nya yang diredai di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment