Bilakah agaknya industri perfileman kita boleh menerbitkan filem yang mengisahkan perjuangan seseorang pemimpin negara seperti filem Gandhi terbitan Hollywood pada 1982? Sememangnya buat masa ini tidak ada penerbit filem kita yang berkemampuan membuat sebuah filem sedemikian. 
Oleh itu, usaha Datuk Paduka Shuhaimi Baba menerbitkan Tanda Putera, sebuah filem sejarah mengenai perjuangan dan pengorbanan dua pemimpin ulung negara, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman boleh dipuji. 

Pelbagai butiran tidak tepat kerana penerbitnya tidak berusaha menghubungi beberapa pegawai yang rapat dengan kedua pemimpin itu yang masih hidup sekarang.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan ialah penerbit dan pembuat filem itu berusaha dengan lebih berkesan untuk menggambarkan kisah bagaimana kedua pemimpin itu dapat bekerjasama untuk mententeramkan keadaan berikutan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Pengorbanan pemimpin

Filem itu tidak dapat menonjolkan keakraban mereka mentadbirkan negara ketika menghadapi keadaan terburuk pernah berlaku selepas kemerdekaan. Ramai di kalangan pemerhati Barat, termasuk akhbar mereka sudah merumuskan negara ini tidak dapat dipulihkan lagi gara-gara terjejasnya hubungan baik antara kaum, khususnya antara Cina dan Melayu.

Suasana dalam negara ketika itu tidak menyenangkan dan diburukkan lagi oleh liputan tidak tepat akhbar Barat khususnya majalah mingguan terbitan Hong Kong, Far Eastern Economic Review, yang kini sudah pun terkubur yang seolah-olah mengharapkan Malaysia akan hancur. 
Mereka rata-ratanya memberi gambaran bahawa Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang bukan saja berlainan bahasa, agama, budaya dan cara hidup sudah tidak dapat wujud secara aman dan damai lagi.

Penulis mereka dari awal lagi sudah persoalkan apakah dengan kedudukan demikian Malaysia tidak akan terjerumus gagal seperti yang berlaku kepada beberapa negara di dunia yang juga baru mencapai kemerdekaan dari penjajah Barat.

Bagaimanapun, dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat disusuli penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail sebagai timbalannya, keamanan dapat dipulihkan hanya dalam tempoh dua tahun.

Tun Dr Ismail sebelum itu sudah bersara daripada Kabinet kerana kesihatannya tidak mengizinkan, tetapi berjaya dipujuk Tun Razak untuk kembali berkhidmat demi kesejahteraan negara.

Keakraban kedua pemimpin itu dan ketegasan mereka untuk memulihkan keadaan membawa kepada tamatnya keadaan darurat dengan Parlimen dipulihkan kembali.

Walaupun filem itu ada menunjukkan keakraban kedua pemimpin berkenaan, ia tidak berusaha mendalami kemesraan mereka hingga berjaya mengembalikan keadaan aman damai dan memupuk kesediaan pelbagai kaum untuk bekerjasama dan bersatu demi meningkatkan pembangunan negara dan rakyat.

Pengorbanan mereka hingga tidak menghiraukan kesihatan sendiri juga dipaparkan secara imbas saja, walhal sepatutnya boleh dihuraikan dengan lebih mendalam.

Lakonan mengecewakan

Filem itu juga agak mengecewakan dalam pelbagai perkara, tidak kurang juga mutu lakonan pelakon utamanya yang tidak berjaya menghayati watak tegas kedua pemimpin berkenaan.

Malah, tidak ada usaha untuk membuat ‘makeup’ supaya sedikit sebanyak watak-watak utama mempunyai mirip orang yang mereka lakonkan.

Kita memang tidak mengharapkan filem kita dapat menyamai filem Gandhi oleh Richard Attenborough di mana Ben Kingsley yang memegang watak Gandhi berupaya menjadi mirip sebenar Gandhi. 

Bahkan watak sampingan seperti Jawaharlal Nehru dan Muhammad Ali Jinnah pun diusahakan dengan begitu baik untuk menyamai wajah mereka itu.

Apakah kita tidak ada jurusolek yang mampu mengubah wajah Rusdi Ramli dan Zizan Nin menjadi mirip wajah Tun Razak dan Tun Dr Ismail? 

Demikian juga pakaian dan beberapa watak seperti mahasiswa universiti tidak menggambarkan keadaan ketika itu. Mana ada pelajar wanita universiti waktu itu yang berambut perang?

Perkara ini mungkin dianggap remeh, tetapi jika mahu menggambarkan suasana pada tahun 60-an, penerbitnya haruslah membuat penyelidikan untuk mengetahui gaya dan fesyen pakaian dan perwatakan orang yang hendak digambarkan pada waktu itu.

Demikian juga ada pelbagai butiran tidak tepat kerana penerbitnya tidak berusaha menghubungi beberapa pegawai yang rapat dengan kedua pemimpin itu yang masih hidup sekarang.

Satu adegan Tun Razak menerima berita kematian Tun Dr Ismail ketika menghadiri Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Commonwealth di Ottawa, Canada pada 1973 juga tidak tepat. 

Tun Razak ketika itu sedang beramah mesra dengan ketua-ketua negara dan perwakilan lain serta wartawan di taman Dewan Perhimpunan setelah ia dirasmikan oleh Queen Elizabeth. 

Beliau waktu itu didatangi seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia. Penulis yang membuat liputan persidangan itu untuk Bernama melihat dari dekat bagaimana Tun Razak menjadi pucat dan jelas amat terharu menerima berita itu dan memutus untuk segera kembali ke tanah air. 

Tetapi filem itu menunjukkan ia berlaku dalam sebuah bilik. Perkara ini mungkin dianggap remeh, tetapi ia menggambarkan penyelidikan yang tidak mendalam sehingga menyebabkan mutu filem itu terjejas.

Penulis ialah Felo Kanan UKM BHonline 15.9.13