Ad

Friday, 6 September 2013

Bukan Impi Jadi Pelakon


SELEPAS 35 tahun berlakon dan berlawak, Ahmad Busu kini akur dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk terus aktif.
NAMA Ahmad Busu tersenarai sebagai salah seorang pelakon dan pelawak dalam dunia hiburan tanah air sejak era tahun 1970-an hingga kini. Sungguhpun telah berkecimpung dalam bidang seni sejak 1978 sehingga kini, tetapi dia sebenarnya bukan menghambakan diri sepenuh masa dalam bidang itu.
Ini kerana, sepanjang 35 tahun menjadi anak seni, Ahmad tidak meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai kerani di Lembaga Pelabuhan Klang. Dia berlakon secara sambilan sahaja. Namun, itu tidak menghalang dia mencipta populariti yang agak lama dalam bidang yang penuh dengan glamor itu.
Menurut pelawak dan pelakon berusia 60 tahun ini, dia terbabit dalam bidang seni selepas dipelawa oleh dua kawannya yang mahu mementaskan teater di Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur pada penghujung tahun 1970-an dan ia berlaku tanpa dirancang.
"Ketika itu saya tinggal di Pelabuhan Klang, Selangor yang mana seorang guru bernama Cikgu Talib yang kini sudah meninggal dunia. Dia dan seorang lagi kawannya iaitu Syed Zamzam mahu membuat kelas tarian dan mementaskan teater yang bertajuk Tuan Hakim.
"Mereka mengajak saya berlakon dalam teater itu yang mana ia adalah teater pertama lakonan saya. Teater itu dipentaskan bersama kumpulan Angkatan Seni Tanah Air atau Asnita. Itulah permulaan saya sebagai pelakon," kata Ahmad kepada Hits semasa ditemui baru-baru ini.
Jelas bapa kepada empat orang anak dan seorang cucu ini, dia membabitkan diri dalam bidang lakonan bagi mengisi masa lapang dengan cara yang berfaedah. Selain itu, pada masa sama Ahmad juga mahu mengelakkan dirinya daripada bercampur gaul dengan rakan-rakan sebayanya yang ramai menagih dadah ketika itu.
Katanya, ketika itu di Pelabuhan Klang ramai kawan-kawannya terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan salah satu caranya ialah dengan menjauhkan diri daripada mereka. Bidang lakonan adalah salah satu cara yang ada ketika itu bagi menyelamatkan Ahmad daripada dipengaruhi gejala yang negatif tersebut.
"Selain itu, saya juga selalu berulang-alik dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur bersama kawan baik saya iaitu pelakon Khairul Azhar. Kami selalu mencari peluang berlakon terutama dalam pementasan teater dan bercampur gaul dengan para penggiatnya di Kuala Lumpur. Mereka sangat aktif ketika itu.
"Pada masa itu, modal saya cuma RM5 sahaja. Dengan duit itulah saya gunakan sebagai tambang bas pergi balik dan makan roti canai dan teh tarik. Saya bersyukur kerana terselamat daripada pengaruh dadah dan pada masa sama dapat pula mencipta nama sebagai pelakon," ujarnya penuh bangga.
Sejak 1978 sehingga kini, Ahmad Busu banyak berlakon teater, siri komedi, drama, telemovie dan filem cereka yang mana kebanyakan watak yang diberikan kepadanya lebih menjurus kepada watak-watak komedi sehingga dia lebih dikenali sebagai pelawak dalam bidang tersebut.


Rujukan© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment