Ad

Saturday, 28 September 2013

Pilihan Selangor pertahan kejuaraan


ZAINAL Abidin Hassan melepasi halangan pemain Singapura, Dalis Supait pada perlawanan di antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura dalam Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
SHAH ALAM - Pilihan Selangor berjaya muncul juara Piala Sultan Selangor buat kali keenam apabila menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 bagi saingan edisi ke-12 di Stadium Shah Alam semalam.
Sebelum ini Pilihan Selangor telah berjaya meraih kejuaraan pada 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012, kemenangan semalam juga menyasikan mereka mengatasi Pilihan Singapura yang pernah muncul juara sebanyak lima kali pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011. Kedua-dua pasukan pernah meraih kejuaraan bersama pada 2004.
Dalam aksi yang disaksikan kira-kira 60,000 penyokong itu, Pilihan Selangor tersentak dengan jaringan Pilihan Singapura apabila penyerang veteran, Aleksander Duric pada minit kelima tatkala mereka masih lagi mencari rentak untuk mempamerkan permainan mantap.
Usaha keras Selangor untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila pemain import, Adam Griffith mudah menanduk masuk hantaran lambung Mahali dari sebelah kanan pada minit ke-40.
Pada minit ke-54 Selangor berjaya berada di depan apabila Forkey Doe merembat kencang bola dari dalam petak penalti selepas mendapat hantaran pendek Amri Yahyah.
Pilihan Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui sepakan penalti Kamel Ramdani. Ramdani sebelum itu dikasari Fitri di dalam petak penalti.
Kegembiraan Pilihan Singapura tidak lama, apabila Forkey Doe berjaya menjaringkan gol keduanya hasil rembatan lencong dari luar petak penalti menewaskan Hassan yang dilihat sedikit ke depan dari posisinya.
Sementara itu Veteran Singapura berjaya mengekalkan kemenangan yang dicatatkan tahun lalu, apabila mereka menang tipis 1-0 menewaskan Vetaran Selangor hasil jaringan Rafi Ali pada minit ke-17.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_02/Pilihan-Selangor-pertahan-kejuaraan#ixzz2gEjrILim
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment