KUANTAN - Kehadiran peminat amat mengecewakan apabila tidak sampai 1,000 penonton memenuhi Stadium Darul Makmur, namun itu tidak mematahkan semangat skuad Harimau Muda untuk menang 1-0 ke atas Singapura dalam saingan pembukaan Pestabola Merdeka, semalam.
A. Thamil Arasu menjadi watak utama kemenangan skuad bawah 23 tahun Malaysia selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-46, 25 saat sebaik babak kedua bermula bagi memastikan kita memulakan kempen dengan tiga mata.
Walaupun tampil dengan aksi kemas dan mencipta deretan peluang, skuad bimbingan Ong Kim Swee yang tampak kurang selesa bermain di atas padang becak gagal meledak lebih banyak gol akibat ketumpulan penyudah.
Kecekapan penjaga gol lawan, Muhd. Syazwan Buhari turut menggagalkan usaha Malaysia untuk berpesta gol, biarpun mengharungi baki 35 minit terakhir menentang 10 pemain lawan.
Dua pemain paling mencuri tumpuan adalah bintang FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal yang menjadi penggerak utama serangan Harimau Muda, selain kemantapan pertahanan negara yang dikawal Mohd. Fadhli Shas dan Nik Mohd. Shahrul Azim.
Harimau nyata lebih menguasai bahagian tengah tetapi disiplin yang ditunjukkan anak-anak buah V. Sundramoorthy memastikan babak pertama berakhir 0-0.
Malah, Singapura hampir meraih gol pembukaan pada minit ke-45 melalui Muhd. Khairul Nizam yang dapat diselamatkan Izham Tarmizi.
Gol yang dicari akhirnya menjelma sebaik babak kedua bermula dengan hantaran menarik Junior disudahkan Thamil yang menolak bola untuk jaringan sulung Pestabola Merdeka 2013.
Malaysia mendapat kelebihan pada minit ke-55 selepas pertahanan Singapura, Muhd. Afiq Yunos dilayangkan kad merah kerana menepis bola tandukan Mohd. Fadhli Shas dengan menggunakan tangan dan pengadil menghadiahkan penalti.
Malangnya, Wan Zack Haikal gagal menyudahkan sepakan yang dapat ditampan oleh Syazwan Buhari, dan Junior yang berada berhampiran sekadar menyepak lemah ke gawang.
Biarpun Malaysia mencipta kemenangan, kehadiran penonton amat mendukacitakan dengan tidak sampai 1,000 penyokong hadir semasa perlawanan dilangsungkan pada pukul 5.30 petang.
Mujur, kehadiran sekumpulan penyokong Ultras Malaya memberi semangat buat pemain negara.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa kira-kira 15 minit menemui pemain negara turut menaikkan semangat mereka.
Dalam satu lagi perlawanan, Thailand dan Myanmar sekadar berkongsi mata apabila seri 1-1.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130908/su_01/Harimau-jinakkan-Singa#ixzz2eFilo3Xz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment