KUANTAN - Pemain Harimau Muda yang semakin mencuri tumpuan, Junior Eldstal tidak cepat lemas dengan pujian terhadapnya selepas mempamerkan persembahan yang cemerlang ketika menang 1-0 ke atas Singapura, Sabtu lalu.
Enggan dibuai dengan kemenangan sulung Malaysia pada kejohanan Pestabola Merdeka 2013, pemain kacukan Sweden dan Sabah itu hanya mahu memikirkan kemenangan buat negara sambil berazam mahu mempertingkatkan prestasinya pada perlawanan menentang Myanmar.
''Sebagai pemain, saya tidak mahu melihat perkara yang positif setiap masa sebaliknya mahu mencari apa kelemahan saya sebagai asas untuk memajukan lagi permainan saya.
''Bagi saya, aksi seorang individu bukanlah seorang yang penting tetapi adalah persembahan keseluruhan pasukan.
''Perlawanan esok (hari ini) pasti sukar kerana Myanmar sebuah pasukan yang cukup liat dan pantas dalam melakukan serangan balas tetapi kita pun ada sebuah pasukan yang bagus, Malaysia mampu memberi saingan kepada mereka," katanya pada sidang akhbar pemain di sini, semalam.
Junior yang merupakan pemain Sarawak dan pernah beraksi di England, pertama kali menyertai barisan Harimau Muda selepas berjaya mencuri tumpuan Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam Harimau Malaya ketika menentang Chelsea pada Julai lalu.
Dia yang bergandingan dengan ketua pasukan, Mohd. Irfan Fazail di bahagian tengah berjaya mematahkan banyak penguasaan bola pihak lawan di samping turut menjadi arkitek kepada gol tunggal negara yang dijaringkan oleh A. Thamil Arasu.
Seorang lagi tonggak Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor mengakui masih berasa terkilan ekoran kerana gagal menjaringkan gol melalui sepakan penalti ketika berdepan Singapura pada minit ke-55 dan mahu menebusnya apabila bertemu Myanmar hari ini.
''Saya memang kecewa dengan diri saya sendiri kerana tidak sempurnakan sepakan berkenaan dan secara jujurnya saya rasa prestasi saya tidak begitu baik pada perlawanan itu.
''Mungkin saya berasa sedikit tertekan untuk membuktikan sesuatu kepada semua orang namun saya bukannya sempurna, saya harap pada perlawanan menentang Myanmar dapat buat lebih baik dan sasaran saya adalah mahu menjaringkan gol," katanya.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130909/su_05/Junior-tidak-tenggelam-dengan-pujian#ixzz2eVls6mGR
No comments:
Post a Comment