Ad

Sunday 15 September 2013

Sabah, Sarawak tak dipinggir

Sabah, Sarawak tak dipinggir
Najib jamin pembangunan sama rata semua negeri

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam menegaskan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya tidak akan meminggirkan Sabah dan Sarawak, malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan sama rata untuk semua negeri di Malaysia. 
Perdana Menteri berkata, satu kompromi sudah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. 


Katanya, hak autonomi dan kedudukan kedua-dua negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cob-bold.

“Sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa berusaha memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia,” katanya dalam posting terbaru di laman blog www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Najib berkata, usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Banyak perubahan 
Katanya, kehidupan masyarakat di kedua-dua negeri itu banyak berubah berbanding 50 tahun lalu, selaras dengan pembangunan global.

Najib berkata, sejak 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi melaksanakan 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pada 2012, RM62.3 juta daripada jumlah RM2 bilion diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk mereka bentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah. 

Tambahnya, RM207 juta diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian.

“Usaha berterusan membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa jadi keutamaan Kerajaan Malaysia, malah kehidupan masyarakat di kedua-dua negeri ini banyak berubah berbanding 50 tahun lalu selaras dengan pembangunan global,” katanya.

Najib berkata, tahun ini amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia kerana negara akan menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya ke-50 hari ini.

“Pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia dibuat oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada tarikh bersejarah ini, 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.

Najib berkata, pengisytiharan itu yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat memberi sinar harapan kepada seluruh rakyat.

Pelihara keharmonian

“Pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam negara berdaulat,” katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50, Najib menyeru rakyat negara ini berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment