KUALA LUMPUR - Ujian sukar bakal ditempuhi oleh Harimau Muda di Stadium Siliwangi, Bandung pada malam ini kerana bukan sahaja sekadar terpaksa berdepan tuan rumah, Persib Bandung malahan 25,000 penyokong fanatik pasukan itu pada aksi pembukaan Piala Menpora.
Sedar reputasi kelab itu selain sentimen anti Malaysia yang pasti dimainkan akan penyokong, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sama sekali mengharapkan anak-anak buahnya tidak cepat bungkam atau mengalah sebaliknya menunjukkan karakter tersendiri bahawa mereka mampu berdepan apa jua cabaran yang akan mendatang.
Baginya, bertemu lawan seperti Persib bakal satu pembelajaran terbaik kepada para pemainnya walaupun tiada sasaran tertentu diletakkan dan berharap mereka mampu menunjukkan persembahan yang membanggakan.
''Saya jangkakan perlawanan esok (malam ini) akan dipenuhi oleh puluhan ribu penyokong fanatik Persib yang pasti akan memberikan satu cabaran besar kepada para pemain kita.
''Harap mereka semua boleh ambil peluang ini dengan baik sambil menunjukkan kekuatan mental mereka dengan beraksi seperti biasa dan tidak takut apa jua yang kita bakal hadapi nanti, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelas Kim Swee, biarpun kehilangan beberapa pemain utamanya, Persib tetap lawan yang kuat kepada skuadnya memandangkan mereka telah sahaja menutup cabaran Liga Super Indonesia (ISL) dengan baik.
''Difahamkan seorang pemain import mereka (Sergio van Dijk) tidak dapat beraksi kerana kecederaan sementara dua pemain mereka dipanggil untuk menganggotai skuad Bawah 23 tahun (hadapi kejohanan Sukan Perpaduan Islam 2013).
''Walaupun begitu mereka tetap diletakkan sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan ini kerana mempunyai barisan pemain yang cukup berpengalaman dan berkualiti sementara kita ini saya rasa lebih sesuai dianggap underdog, " katanya.
Selain Sergio, Persib juga kehilangan lima pemain utama mereka iaitu penjaga gol, Shahar Ginanjar, Tony Sucipto, I Made Wirawan, Supardi Nasir Bujang dan Muhd. Ridwan.
Situasi itu dilihat satu kesempatan baik kepada Harimau Muda namun Kim Swee menegaskan, dia tetap akan menurunkan ramai muka baharu yang tidak mendapat kesempatan beraksi di Pestabola Merdeka 2013 baru-baru ini.
"Pemain-pemain seperti Ferris Danial, Azrif Nasrulhaq, Ariff Farhan, Saiful Ridzuwan dan Kenny Pallraj akan lebih kerap berada dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan yang kita lalui," katanya.
Selepas Persib, Harimau Muda akan menentang juara Liga Australia, Central Coast Mariners, Ahad ini dan Sriwijaya pada 24 September dengan hanya juara kumpulan sahaja akan mara ke perlawanan akhir.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130920/su_03/Harimau-Muda-tempuh-laluan-berduri#ixzz2fQY9S7Ax
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment