50 tahun pembentukan Malaysia tanda aras capai kesepakatan sosial
Pada Isnin ini, kita akan meraikan perayaan jubli emas pembentukan Malaysia. Tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 sama-sama penting.
Kita perlu memastikan semua negeri di bawah panji Persekutuan Malaysia dapat mencapai kemajuan dan pembangunan sama rata. Kita perlu berusaha merapatkan jurang dalam pelbagai bidang”
Kongsi kemakmuran
Pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak bimbang menjelang pembentukan Malaysia. Tun Jugah Barieng, pemimpin Iban, menyimpulkannya dalam bahasa Iban bermaksud, jangan sampai Malaysia seperti tebu, manis di pangkal, tawar di hujung.
Wujud kesepakatan dalam kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak agar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan luar bandar dipercepat dan perhatian yang lebih diberi terhadap pendidikan, khususnya bagi Bumiputera.
Kebimbangan rakyat Sabah dan Sarawak disalurkan melalui pelbagai pertemuan termasuk melalui surat dan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold yang terserlah melalui Perjanjian 20 Perkara dan Perjanjian 18 Perkara. Sejauh manakah kebimbangan itu berasas dan sejauh mana perkara terkandung dalam perjanjian itu dipenuhi dan dilindungi selepas 50 tahun? Perjanjian 20 Perkara dan Perjanjian 18 Perkara antara lain meliputi aspek agama, bahasa, perlembagaan, imigresen, Borneonisasi, kewarganegaraan, cukai dan kewangan, kedudukan khas kaum Bumiputera, pelajaran, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, tanah, hutan dan kerajaan tempatan.
Tidak relevan
Sebahagian perkara terbabit sudah tidak relevan kerana faktor peredaran masa atau kerana ia sudah diterima membabitkan bahasa, perlembagaan, ketua persekutuan, nama persekutuan, Borneonisasi, pegawai British, jangka masa peralihan, pelajaran, nama ketua negeri dan nama negeri.
Perkara yang menjadi kontroversi serta menjadi duri dalam daging membabitkan agama, imigresen, kewarganegaraan, perwakilan dalam Parlimen Persekutuan, selain peluang pekerjaan khususnya pada peringkat Persekutuan.
Elak sentimen perkauman
Kita sudah melalui 50 tahun pertama pembentukan Malaysia. Sejauh manakah impian pemimpin pengasas dan pejuang kemerdekaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia tercapai? Adakah Sabah dan Sarawak yang dijanjikan pembangunan sama rata oleh pemimpin Pusat 50 tahun lalu menikmati hasil kemerdekaan itu? Sudahkah kita mencapai kesepaduan sosial dan integrasi nasional dan wilayah? Sejauh mana sikap kenegerian dan kewilayahan berjaya kita kikiskan? Kita tidak boleh membiarkan sentimen perkauman, kenegerian dan regionalisme sempit tumbuh dan berkembang di jiwa rakyat ketika kita sepatutnya bercakap mengenai agenda pembinaan negara bangsa.
Bagi saya, melangkah ke depan, kita perlu memastikan semua negeri di bawah panji Persekutuan Malaysia dapat mencapai kemajuan dan pembangunan sama rata. Kita perlu berusaha merapatkan jurang dalam pelbagai bidang. Kita perlu mengukuhkan integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, budaya dan politik bagi mewujudkan identiti nasional. Integrasi wilayah bertujuan mengurangkan jurang perbezaan geografi, pembangunan sosial dan ekonomi antara Sabah dan Sarawak dengan negeri lain di Semenanjung. Integrasi ekonomi membabitkan usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara wilayah dan antara kumpulan etnik.
Sehubungan itu, kita perlu mengetahui faktor yang boleh menyebabkan gagalnya sistem Persekutuan. Kegagalan sistem Persekutuan boleh disebabkan faktor ketidaksesuaian, kepentingan ekonomi, geografi dan kepelbagaian etnik. Isu bahasa dan kebudayaan juga boleh menyebabkan berlakunya kegagalan disebabkan keinginan masyarakat setempat untuk mempertahankan dan melindungi identitinya. Diskriminasi dan pengabaian hak sesebuah negeri adalah bom jangka yang boleh menggugat sistem Persekutuan. Rujukan berita Harian online 15.6.13
Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
No comments:
Post a Comment