Ad

Saturday 21 September 2013

Rashid didakwa langgar kontrak


TENGKU MAHALEEL (kanan) bersama Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat BAM, Tan Aik Mong pada sidang akhbar khas di Bukit Kiara semalam.



PRESIDEN Persatuan Badmintom Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menyelar tindakan jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek yang membuat keputusan mengejut meninggalkan badan induk itu kelmarin.
Secara terbuka, Tengku Mahaleel turut mendakwa keputusan Rashid itu bukan disebabkan rombakan besar-besaran yang dilakukan BAM dalam struktur kejurulatihan skuad negara.
“Sebaliknya, pihak kami (BAM) menemui satu artikel dari India bertarikh 19 Julai lalu yang menyatakan Rashid telah menandatangani kontrak dengan sebuah pasukan kelab di India, Delhi Smashers.
“Jika artikel ini benar, maka dia sudah melanggar kontrak. Mengikut undang-undang, anda tidak boleh menandatangani dua kontrak dalam satu masa.
“Macam mana pula setelah anda ada kontrak dengan kami, kemudian anda tandatangani kontrak di tempat lain?,” kata Tengku Mahaleel dalam satu sidang akhbar khas di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Tengku Mahaleel menambah, pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak surat peletakan jawatan Rashid itu.
Menurutnya, ia disebabkan jawatankuasa undang-undang BAM akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.
Tengku Mahaleel berkata, BAM tidak meratapi kehilangan Rashid disebabkan mereka mempunyai begitu ramai barisan kejurulatihan yang masih mampu menggalas tugasan yang ditinggalkan oleh bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu.
“Jika dilihat melalui pemantauan pihak kami, 70 peratus sesi latihan (Datuk) Lee Chong Wei adalah di bawah pengawasan Tey Seu Bock.
“Saya rasa, tindakan yang dilakukan oleh Rashid itu bukanlah satu kehilangan besar kepada kami. Biarlah dia pergi, kami telah mempunyai perancangan tersendiri dalam merencana pembangunan badminton negara pada masa depan.
“Terdapat empat kejohanan utama tahun depan iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.
“Kita perlu membuat perubahan kepada sistem sekarang jika kita mahu satu pasukan kita menang,” kata Tengku Mahaleel.
Kelmarin, Rashid, 45, yang masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2014, membuat kejutan apabila meninggalkan BAM selepas 10 tahun berkhidmat bersama badan induk itu.
Tindakan itu dibuat gara-gara rasa tidak puas hati Rashid terhadap pihak pengurusan baharu BAM yang telah merombak struktur kejurulatihan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo.32.9.2013

No comments:

Post a Comment