Ad

Saturday, 14 September 2013

Johor DT berjaya ikat Pablo Aimar


TUNKU Ismail (kiri) bersama Aimar pada majlis memperkenalkan pemain baharu Johor DT itu di Johor Bahru semalam.


SELEPAS lebih setahun nama Pablo Aimar dikaitkan dengan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), akhirnya bekas pemain kebangsaan Argentina itu kini sah menjadi milik skuad Harimau Selatan.
Semalam, pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Johor DT dalam satu majlis ringkas di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Pada majlis sama, Aimar turut diperkenalkan secara rasmi kepada pemberita dan ratusan penyokong setia Johor DT.
Menurut Tunku Ismail, dalam perjanjian tersebut, Aimar akan beraksi bersama skuad Harimau Selatan selama dua tahun manakala baki tiga tahun lagi digunakan untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Aimar adalah pemain hebat dan sangat berbakat. Dengan pengalaman dan bakat yang dia ada, saya harap dia dapat membantu skuad Johor DT dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.
“Dengan adanya Aimar, dia menjadi pelengkap kepada pasukan ini. Dia juga akan menjadi sebahagian akademi skuad remaja di sini,” titah baginda pada sidang akhbar semalam.
Tunku Ismail bagaimanapun enggan mendedahkan nilai kontrak pemain terbabit namun menjelaskan, Aimar akan menyarung jersi No. 10 untuk musim hadapan.
Dalam pada itu, Aimar mengakui dia bangga kerana dapat menyertai Johor DT yang dianggap sebuah pasukan yang sedang meningkat naik.
“Saya mempunyai pengalaman indah di Malaysia terutama di Johor. Tambahan pula, PBNJ telah membuat tawaran yang sukar untuk saya tolak.
“Saya dapat melibatkan diri dalam ruang yang lebih besar iaitu sebagai pemain dan juga untuk membantu pembangunan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Aimar pernah beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika mewakili Argentina pada Piala Dunia Remaja 1997 dan menyumbat gol kemenangan ketika menewaskan England 2-1 pada pusingan kalah mati.
Argentina muncul juara kejohanan itu. Dia juga pernah beraksi pada Piala Dunia FIFA pada 2002 dan 2006.
RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo.15.9.2013

No comments:

Post a Comment