SHAH ALAM 14 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak melakar satu anjakan besar dalam agenda membela serta meningkatkan taraf kehidupan kaum bumiputera apabila beliau melancarkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang merangkumi lima fokus utama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Sambil merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu dan bumiputera yang memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Perdana Menteri mengingatkan bahawa usaha tersebut merupakan agenda nasional yang sangat mustahak untuk difahami dengan baik oleh semua pihak.
Ini kerana ujarnya, jika kaum majoriti bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan serta kestabilan apatah lagi untuk mencapai impian negara maju yang sejahtera pada tahun 2020.
"Melayu dan bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa (inisiatif) bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta bumiputera adalah tidak adil dan saksama.
"Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan bumiputera bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama hasil pembangunan ekonomi negara," katanya dalam ucapan pelancaran agenda itu di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Kabinet dan Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Perdana Menteri turut memetik Tujuh Wasiat oleh sembilan raja-raja Melayu semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan. Wasiat tersebut adalah seperti berikut;
"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain".
Kata Najib, wasiat tersebut sangat terang lagi bersuluh yang menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan terbentuknya Malaysia 50 tahun lalu.
"Secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham tentang pemerkasaan ekonomi bumiputera ini," ujar beliau.
Tegas Perdana Menteri, sesungguhnya inisiatif dan haluan besar itu dilakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Sementara itu beliau berkata lima fokus yang terkandung di dalam Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ialah;
* Mendaya modal insan bumiputera
* Memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat
* Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera
* Memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera
* Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan
Dalam ucapannya beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera.
"Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan Timbalan Pengerusinya adalah Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan.
"Keahliannya bersifat kompak di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang relevan akan diundang. Majlis yang penting ini akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih daripada itu," katanya.
Perdana Menteri pada akhir ucapannya meminta orang Melayu dan bumiputera tidak perlu bimbang dan gundah-gulana kerana katanya selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan survival Melayu dan bumiputera akan tetap menjadi keutamaan serta pelita perjuangan sampai bila-bila.
"Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai," ujarnya lagi.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130915/dn_01/Nasib-bumiputera-dibela#ixzz2evTWiIpI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment