Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - "Saya rasa tiada apa-apa, semua pemain masih ceria dan berlatih seperti biasa dalam latihan. Apa yang kami lalui ini hanya satu prosedur biasa, " kata penyerang Perak, Abdul Hadi Yahaya.
Tidak mahu menyentuh mengenai siasatan ke atas skuad Kejor Yob Kejor yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Abdul Hadi bagaimanapun mengakui, pasukan Seladang tersingkir daripada Piala Malaysia disebabkan tidak bernasib baik dalam tiga perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Dia turut sependapat dengan pengendali pasukan, Mohd. Azraai Khor Abdullah bahawa masalah kecederaan dan penggantungan pemain yang sebenarnya menjejaskan rentak cemerlang Perak ketika mereka hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menempah slot suku akhir.
"Bagi saya apa yang dilakukan oleh PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) itu dan siasatan oleh SPRM adalah untuk memastikan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
"Jika ditanya pendapat peribadi saya, punca utama kegagalan kami adalah kerana Perak tidak dapat menurunkan barisan terkuat dalam beberapa perlawanan terakhir akibat kecederaan dan penggantungan.
"Nasib kami untuk suku akhir mungkin berubah jika kami tidak kalah kepada Kedah di tempat sendiri melalui jaringan minit akhir, itu pun terhasil melalui bola refleks, nasib jelas tidak memihak kepada kami, " katanya.
Perak dimalukan 6-1 oleh Sarawak dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia, kekalahan yang menyebabkan mereka tersingkir daripada persaingan.
Skuad Yob bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila PAFA bertindak menggantung semua pegawai dan pemain selama dua minggu untuk membenarkan SPRM menjalankan siasatan.
Walaupun Abdul Hadi tidak berada dalam senarai 12 pemain yang dipanggi memberi keterangan, namun pemain kebangsaan itu berkata, kekalahan mengejut di laman sendiri kepada Kedah sebenarnya punca Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.
Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam dan SPRM, Isnin lalu selain menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan dalaman.
SPRM mengambil tindakan susulan dengan memanggil separuh pemain Perak dan dua pegawai memberi keterangan.
Kata Abdul Hadi, dia tidak fikir apa yang berlaku kepada Perak musim ini akan menjejaskan fokus dan moral mereka untuk menghadapi musim 2014.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_03/Kami-tidak-ambil-hati#ixzz2gEotw3g9
© Utusan Melayu (M) Bhd 29.9.2013
No comments:
Post a Comment