KUANTAN - Dua nadi kubu pertahanan Harimau Muda, Nik Mohd. Shahrul Azim dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mahu memastikan Myanmar berputih mata pada pentas akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Tidak gerun dengan reputasi gah yang ada pada barisan serangan Myanmar yang akan diterajui Kyaw Ko Ko dan Kyi Lin, mereka berdua akan sedaya upaya mengekang kelincahan pasukan lawan sambil menegaskan tidak rela melihat pintu gol sendiri dibolosi bagi memastikan trofi Pestabola Merdeka kekal di tanah air sendiri.
Menurut Nik Shahrul, aksi dengan Myanmar pada peringkat kumpulan akan dijadikan panduan utama walaupun aksi di perlawanan akhir mungkin sedikit berbeza di samping lawan pasti akan menggunakan pendekatan baru bagi menghadapi tuan rumah.
"Pada perlawanan akhir ini, saya yakin kami semua di bahagian pertahanan mampu beraksi lagi baik dan akan cuba memastikan Myanmar tidak membolosi gawang kami.
"Myanmar membuktikan mereka ada kualiti tersendiri di bahagian serangan dan kami tidak boleh sedikit pun bersikap sambil lewa dalam sepanjang permainan, jika tidak kami boleh dihukum.
"Persefahaman saya dengan pemain-pemain Harimau Muda juga semakin baik walaupun pada awalnya sedikit kekok dan sekarang tiada masalah lagi, saya sudah tahu cara permainan rakan-rakan yang lain," katanya ketika ditemui, semalam.
Nik Shahrul yang juga pertahanan Kelantan adalah salah seorang pemain yang diberi pelepasan oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal selain Junior Eldstal bagi membantu Harimau Muda dalam saingan Pestabola Merdeka 2013.
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130914/su_04/Nik-Shahrul-Azrif-sedia-rantai-Myanmar#ixzz2epmL3yR5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment