KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kerajaan Thailand menghormati pendirian Malaysia yang tidak membenarkan abu mayat Chin Cheng dibawa balik ke sini, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.
Menurut Abu Zahar perkara, itu dinyatakan oleh Presiden Sahabat Parlimen Thailand-Malaysia, Narong Duding dalam pertemuan mereka di sini.
"Narong memberitahu pihak kerajaan Thailand tidak mengiktiraf perjuangan Chin Peng dan mereka faham serta menghormati keputusan yang dibuat kerajaan Malaysia," katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.
Narong mengetuai delegasi 11 orang melakukan kunjungan ke Parlimen. Turut serta Duta Thailand ke Malaysia Krit Kraichitti dan bekas Perdana Menteri Thailand, Chuay Leek Pai.
Mengulas lanjut, Abu Zahar berkata dalam pertemuan selama sejam bermula 10 pagi itu, beliau turut menjelaskan kepada Narong bahawa keputusan kerajaan Malaysia menghalang abu mayat Chin Peng dibawa balik ke sini disebabkan pemimpin Parti Komunis Malaya itu bertanggungjawab atas kematian ribuan anggota pasukan keselamatan dan rakyat negara ini.
"Saya juga memaklumkan bahawa Chin Peng tidak mahu menjadi warga Malaysia kerana menolak tawaran kerajaan untuk berdamai kembali ke sini, sebaliknya tetap mahu menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan," katanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa, 90, yang dilapor meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada 16 September lalu akibat sakit tua dibawa balik ke negara ini. - BERNAMA
rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130923/dn_30/Chin-Peng-Thailand-hormati-keputusan-Malaysia#ixzz2fh8kQp6M
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment