Ad

Saturday, 14 September 2013

UiTM ambil 250,000 pelajar menjelang 2020

Sebahagian tetamu melaungkan 'Hidup Melayu' dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Melayu Bumiputera 2013 di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM 14 Sept. - Kerajaan menetapkan pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada 250,000 menjelang tahun 2020 sebagai sebahagian perancangan melahirkan modal insan bumiputera berkualiti tinggi sekali gus menjayakan hasrat memperkasa ekonomi kaum majoriti itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, serentak dengan peningkatan penetapan pengambilan tersebut, beberapa kampus baharu cawangan UiTM akan dibangunkan di seluruh negara agar dapat menampung penambahan jumlah pelajar seperti yang disasarkan.
"Saya telah menyatakan bahawa kita berhimpun di UiTM hari ini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka tetapi seperti slogan popular 'UiTM di hatiku', maka universiti ini sangat dekat di hati kita sebagai sebuah institusi bumiputera yang cukup membanggakan.
"Pagi ini saya mengumumkan peningkatan pengambilan pelajar UiTM kepada 250,000 menjelang 2020," katanya semasa berucap dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang digariskan melalui lima teras utama di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.
Menurut Najib, pada tahun 2005 beliau merupakan pemimpin yang bertanggungjawab mengumumkan supaya pengambilan pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang 2015 dan kini berpuas hati apabila pengambilan tersebut sudah mencapai 180,000 orang.
Menyentuh mengapa beliau memilih UiTM sebagai lokasi untuk mengumumkan detik bersejarah dalam usaha kerajaan memperkasakan ekonomi orang Melayu dan bumiputera, Najib berkata, institusi pengajian tinggi tersebut merupakan lambang perjuangan bagi orang Melayu.
"UiTM ini sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan orang Melayu dan bumiputera yang tiada pernah henti dan syukur kepada Allah kerana kita dapat berkumpul di kampus induk UiTM," katanya ketika memulakan ucapan kepada kira-kira 5,000 hadirin.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan Mara berjumlah RM1 bilion bagi membiayai keperluan program latihan; pendidikan; keusahawanan; penyelidikan; pembangunan dan inovasi secara berperingkat-peringkat.
Katanya, dana yang berbentuk sepadan dengan nisbah satu kepada satu antara Mara dengan kerajaan itu diilhamkan demi Melayu dan bumiputera selepas kerajaan mendengar segala keluh-kesah, rintihan serta denyut nadi kaum majoriti tersebut sejak kebelakangan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130915/dn_02/UiTM-ambil-250000-pelajar-menjelang-2020#ixzz2evSFvjvy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment