Ad

Sunday, 22 September 2013

Kerajaan tegas tidak kompromi hal Chin Peng

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Kerajaan bertegas tidak akan berkompromi membenarkan mayat atau abu pemimpin pengganas komunis, Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Chin Peng bukannya rakyat Malaysia.
Malah, beliau menempelak pihak-pihak tertentu yang tidak sensitif dengan perasaan majoriti rakyat terhadap kekejaman komunis semasa zaman darurat, khususnya ahli keluarga bekas-bekas perajurit negara apabila menggunakan isu undang-undang bagi 'menghalalkan' kepulangan Chin Peng.
"Kita (kerajaan) tetap dengan pendirian, seperti kata Perdana Menteri, Chin Peng tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia. Sebabnya, dia bukan warganegara Malaysia berdasarkan maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Sudah tentu kita tahu, kalau mayat atau abunya dibawa balik, akan ada pihak yang mendewa-dewakan dia sebagai pejuang atau membuat tugu peringatan. Ini akan menyakitkan hati veteran-veteran anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka atas kekejaman Chin Peng dan komunis,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pelbagai pihak yang menggunakan isu undang-undang untuk 'melawan' penegasan kerajaan bagi membolehkan mayat atau abu Chin Peng dibawa ke negara ini.
Perdana Menteri sebelum ini membuat penegasan untuk melarang mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dan turut menafikan dakwaan kerajaan melanggar perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1989.
Berhubung perkara tersebut, Najib turut mengingatkan pihak yang berterusan 'berjuang' untuk membawa pulang jasad Chin Peng ke negara ini bahawa pemimpin komunis itu tidak pernah melakukan sebarang tindakan ke arah untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu dimeterai.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak gentar dengan tindakan pihak yang mahu menggunakan isu perundangan bagi mencabar penegasan kerajaan itu.
"Silakan (cabar). Undang-undang atau tidak, ini bukannya masa nak lihat dari segi perundangan sahaja tetapi renungkan aspek kekejaman komunis yang membunuh beribu nyawa termasuk anggota keselamatan. Renungkan perasaan ahli keluarga mereka, ahli keluarga anggota keselamatan yang kehilangan orang tersayang semasa zaman darurat," ujarnya.
Berhubung tindakan seorang peguam yang mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa mahu "mencipta' kaedah atau bertindak mengenal pasti abu Chin Peng jika dibawa masuk ke Malaysia, beliau menegaskan, isu perundangan tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.
"Sekali lagi jangan lihat aspek perundangan, kalau semua lihat undang-undang sahaja, saya fikir, bagaimana pula dengan perasaan ahli keluarga, khususnya anak-anak perajurit negara yang terkorban oleh kekejaman komunis?
"Nak bawa dia (Chin Peng) balik ke sini untuk tujuan apa? Adakah mereka ini terdiri daripada orang yang simpati dengan pengganas komunis?'' soalnya.
Kepada soalan tentang pertikaian pihak tertentu yang mendakwa kerajaan pilih kasih dengan membenarkan jenazah Allahyarham Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini, jawabnya ringkas: "Mereka adalah warganegara Malaysia.''


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130923/dn_04/Kerajaan-tegas-tidak-kompromi-hal-Chin-Peng#ixzz2fhAxYHpL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment