Ad

Saturday, 28 September 2013

Mat Yo bantu julang JDT



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_01/Mat-Yo-bantu-julang-JDT#ixzz2gEo5TBtA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Norshahrul Idlan Talaha nyata tidak terganggu dengan kontroversi yang sedang melanda dirinya, apabila meledak gol untuk membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) menundukkan Kelantan 4-2 pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Hanya Johor DT dilihat membawa bekalan selesa untuk beraksi di suku akhir kedua pada ketika semua perlawanan lain berlangsung sengit.
Di Stadium Jalan Besar, LionsXII menang 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Sime Darby dan Sarawak seri tanpa sebarang jaringan.
Skuad Harimau Selatan yang beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong setia tampil dengan aksi yang cukup memukau.
Mereka tidak menunggu lama mendapatkan gol iaitu seawal minit keempat menerusi sepakan percuma Jasazrin Jamaluddin, yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah semakin selesa apabila mendapat gol kedua pada minit ke-20 menerusi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo.
Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang melalui Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-22.
Kelebihan dua jaringan kembali memihak Johor DT apabila ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim meledak gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-38.
Masuk babak kedua, Kelantan tidak membuang masa mencari gol kedua apabila kurang lima minit beraksi, sepakan pemain import pasukan lawan, Obinna Nwaneri membocori gawang Johor DT buat kali kedua.
Percaturan jurulatih Johor DT, Azmi Mohamed memasukkan Leonel Nunez menggantikan pemain muda, Muhd Haidin Azman nyata berbaloi apabila dia menyumbat gol keempat pada minit ke-81.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby dan Sarawak masing-masing buntu mendapatkan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang seimbang dan menghiburkan kira-kira 10,000 penonton yang hadir.
Skuad Bujang Senang mempunyai beberapa peluang terhidang terutama menerusi Muamer Salibasic pada minit ke-33 yang menyaksikan percubaannya sedikit melepasi palang gol.
Kemudian, giliran bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Fadzli Shaari menunjukkan belang tersendiri pada minit ke-44 apabila melakukan sepakan akrobatik yang mujur dapat ditepis keluar oleh Sani Anuar Kamsani.
LionsXII membawa bekalan tipis tetapi masih cukup berharga kerana tidak memberikan sebarang gol di tempat lawan kepada ATM melalui kemenangan 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Seperti kebiasaan, jaringan LionsXII terhasil melalui situasi bola mati pada minit ke-39 selepas sepakan penjuru yang diambil Shahfiq Ghani hadir tepat di atas kepala Madhu Mohana dan mudah menanduk masuk bagi jaringan tunggal tuan rumah.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_01/Mat-Yo-bantu-julang-JDT#ixzz2gEnp4R1x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment