Tiga golongan manusia terima ketentuan dengan cara berbeza
Setiap perjalanan kehidupan adalah berpaksikan apa yang ditetapkan Allah SWT. Segala-galanya sudah termaktub di sisi Allah SWT sejak azali dan manusia hanya berperanan sebagai alat untuk melaksanakan ketetapan itu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang akan menghilangkan kecuali Dia dan jika didatangkan kebaikan, maka Dia Maha Kuasa ke atas sesuatu.” (Surah al-Ana’m, ayat 17)
Ketetapan ini disebut qada dan qadar yang mana percaya dan beriman kepadanya adalah termasuk satu daripada Rukun Iman yang enam. Sesiapa yang mengingkarinya akan merosakkan imannya dan dianggap keluar daripada agama Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, tidak akan berlaku sesuatu ke atas kami melainkan apa yang ditentukan Allah SWT. Dialah Tuhan kita dan kepada-Nya berserah orang yang beriman.” (Surah At-Taubah, ayat 51)
Ayat itu menunjukkan bahawa penyerahan dan reda terhadap ketentuan Allah SWT adalah syarat keimanan seseorang. Namun, ia boleh berubah kerana kuasa dan ilmu yang dimiliki oleh Allah SWT.
Imam Baijuri dalam kitab Tuhfatul Murid menyebut, ‘Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan’.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa juga yang dikehendaki-Nya dan Dia juga menetapkan apa juga yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) pada sisi-Nya ada ibu segala suratan.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 39)
Ibnu Abbas berkata: “Pada suatu hari, aku duduk di belakang Nabi SAW. Baginda bersabda: Hai anak muda, aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat, antaranya Baginda menyebut, jika mereka berkumpul untuk memberikan mudarat kepadamu, maka mereka tidak akan boleh memberikan mudarat, kecuali yang ditulis Allah untukmu. Pena telah diangkat dan lembarannya telah kering.” (Riwayat Tirmizi)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang akan menghilangkan kecuali Dia dan jika didatangkan kebaikan, maka Dia Maha Kuasa ke atas sesuatu.” (Surah al-Ana’m, ayat 17)
Manfaat, mudarat dengan izin Allah SWT
Jelaslah di sini, untuk mendatangkan manfaat atau mudarat kepada seseorang maka semuanya adalah dengan izin Allah SWT.
Saidina Umar Al-Khattab pada suatu ketika melafazkan doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau takdirkan aku tergolong dalam golongan orang yang bahagia, tetapkan aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau tetapkan aku dalam golongan orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkan aku dalam golongan orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”
Inilah keadaan yang berlaku kepada Nabi Musa ketika mereka terkepung dan kaumnya berkata: “Habislah kita kali ini. Maka Musa menjawab: Tidak sekali-kali kerana sesungguhnya Allah bersamaku dan dia akan menunjukkan jalan.” (Surah Syua’ra’, ayat 62)
Demikian juga ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api. Baginda menyebut: “Pelindungku adalah Allah dan Dialah sebenar-benar pelindung.”
Baginda Nabi SAW ketika di gua bersama Abu Bakar berkata: “Janganlah kamu takut. Sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah Taubah, ayat 40)
Terdapat tiga golongan manusia yang menerima ketetapan Allah SWT dengan cara berbeza. Pertama, mereka yang berserah semata-mata kepada Allah berkaitan nasib hidup tanpa doa dan usaha.
Mereka bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah At-Taubah, ayat 51)
Mundur tanpa usaha
Fahaman inilah yang terjadi kepada sesetengah manusia hingga menyebabkan mereka mundur tanpa usaha kerana beranggapan segala-gala yang berlaku adalah ketentuan-Nya sejak azali.
Keduanya, mereka yang menerima dengan menyandarkan kepada usaha yang mereka lakukan. Tanpa ilmu dan usaha mereka, nescaya tiada apa-apa yang akan berlaku. Anggapan ini samalah seperti apa diucapkan Qarun selepas berjaya mengumpulkan harta yang banyak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Qarun berkata, sesungguhnya segala hasil yang aku dapat adalah hasil usaha dan kebijaksanaanku.” (Surah Al-Qasas, ayat 78)
Fahaman ini bersifat takbur dan mengetepikan hak Allah SWT sebagai penentu. Ketiganya, adalah tepat dan sesuai yang mana golongan ini menerima dengan reda serta berusaha disamping berdoa untuk kemajuan ataupun menghindarkan kecelakaan seperti yang ditegas Yusof Qaradawi.
Ibnu A’taillah Sakandari (ahli sufi) berkata: “Kami bergaul dengan peniaga, pengilang dan penuntut. Namun, kami tidak pernah meminta mereka meninggalkan kerjaya mereka. Bahkan kami menganjurkan mereka supaya bertakwa kepada Allah SWT.”
Perbuatan ‘menyerah diri’ kepada Allah ialah pergerakan tanpa henti dan berdiam tanpa pergerakan’. Inilah yang dimaksudkan bahawa berserah diri adalah amalan Baginda SAW dan bekerja itu adalah sunnahnya.
Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP
No comments:
Post a Comment