Ad

Tuesday 1 October 2013

'Jangan tuduh sebarangan'

Oleh ZAAIN ZIN dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
Aseh Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM
KUCHING - Berang dikaitkan dengan kegiatan menjual perlawanan, Pengurus Pasukan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki menganggap dakwaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai melulu dan mahukan penjelasan segera.
Semalam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM, Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat mendedahkan, selain Perak, Sarawak juga disyaki terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang besar 6-1 di Stadium Negeri, 21 September lalu.
Terkejut dengan dakwaan tersebut, Abu Bakar berkata, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak tahu menahu langsung mengenai perkara itu dan akan menghubungi FAM untuk mendapatkan penjelasan.
Malah tegasnya lagi, FAM sepatutnya bertindak lebih profesional dengan merujuk kepada FAS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada pihak media.
"Saya tidak tahu mengenai perkara ini, namun (dakwaan) memang tidak berasas.
"Saya mahu dengar penjelasan FAM terlebih dahulu esok (hari ini) sebelum memberi komen selanjutnya mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Biarpun mengesahkan maklumat itu, namun Aseh berkata, mereka tidak akan terburu-buru untuk terus menghukum Sarawak kerana perlu mengikut prosedur memandangkan masih belum ada sebarang bukti fizikal yang nyata sehingga setakat ini.
Jelasnya, Jawatankuasa Integriti FAM turut akan meminta kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis dalam merungkai isu itu bagi mendapat gambaran sepenuhnya.
''Sebenarnya, kita ada menerima maklumat mengenai perkara itu (unsur-unsur rasuah dalam pasukan Sarawak) namun siasatan lanjut akan dijalankan terlebih dahulu sebelum kita bercakap lebih lanjut.
''Mengenai isu ini, pihak FAM sama sekali tidak akan bertolak ansur dan sekiranya betul serta kami mendapat maklumat yang kukuh, kami akan terus ke sana (Sarawak) untuk melakukan siasatan mendalam.
''Atas faktor itu, objektif terhadap siasatan ini perlu dibuat terlebih dahulu di samping saya menaruh kepercayaan kepada SPRM selain pihak polis yang mengikuti kes ini mampu berbuat sesuatu sekiranya sebarang tindakan boleh diambil, " kata Aseh.
Sarawak yang mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selaku juara kumpulan menang ketiga-tiga perlawanan di tempat sendiri dengan dua lagi kemenangan dicapai ketika menang 5-0 ke atas Kedah dan 2-1 semasa berdepan Perak.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) telah bertindak menggantung ketua jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan pegawai yang lain selama dua minggu selain 12 pemain turut dipanggil untuk disoal-siasat.
Dalam masa sama, Aseh tidak mahu mengulas lanjut status terkini mengenai pasukan Perak ekoran tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan polis.
"Apa yang saya boleh cakap, kita telah menghantar pegawai kita ke Perak dan mendapat banyak maklumat mengenai PAFA dan selain daripada itu, saya tak dapat mengulas lebih lanjut.
"Saya takut kalau saya, siasatan ini akan terganggu dan kalau ada pihak-pihak yang terlibat, mereka seharusnya dibawa ke muka pengadilan, " katanya.
Mengenai isu berlainan, Aseh mengumumkan satu taklimat dan sesi bertukar pandangan dengan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri akan diadakan pada 17 Oktober depan sambil mengesahkan semua persatuan negeri masing-masing telah menubuhkan Jabatan Integriti seperti yang disarankan.
"Mereka telah mula menggerakkan jawatan integriti di peringkat negeri dan kita lihat ada pihak sudah mula bertindak seperti PAFA, jadi bagi tujuan penyelarasan, jawatankuasa induk akan mengadakan satu taklimat di peringkat negeri pada 17 Oktober serta mahu mendengar apa masalah yang dialami oleh mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat hari ini mendedahkan, selain Perak, Sarawak juga disyaki terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang besar 6-1 di Stadium Negeri, 21 September lalu.
Aseh bagaimanapun berkata, FAM tidak boleh terburu-buru menghukum Sarawak kerana perlu mengikut prosedur lebih-lebih lagi masih belum ada sebarang bukti fizikal yang nyata sehingga setakat ini.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131001/su_01/Jangan-tuduh-sebarangan#ixzz2gTqF0EEB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment