Ad

Friday 11 October 2013

Seladang belum tentu bersih

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
IPOH - Pemain dan pegawai pasukan Seladang mungkin bebas daripada sebarang unsur sabotaj, namun masih belum dapat dibersihkan sepenuhnya daripada tuduhan rasuah selagi laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak selesai.
Itu rumusan yang boleh diputuskan ketika ini selepas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Ismail Saffian membentangkan laporan siasatan dalaman secara terperinci dalam satu mesyuarat di sini semalam.
Namun, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengakui, siasatan tersebut hanya dijalankan secara rambang dengan memanggil 11 pemain dan enam pegawai, termasuk pengurus dan penolong pengurus pasukan.
Namun katanya, siasatan laporan itu hanya melibatkan unsur sabotaj dan tidak menjurus ke arah rasuah kerana PAFA sendiri tidak mempunyai autoriti untuk mengumumkan perkara itu selepas kes tersebut diserahkan kepada polis dan SPRM.
Yang pasti, katanya, tiada unsur-unsur sabotaj yang serius membabitkan pasukan Seladang, justeru menganggap isu penggantungan selama dua minggu membabitkan kesemua pegawai dan petugas termasuk ketua jurulatihnya, Azrai Khor Abdullah selesai.
"Kita menilai maknanya kalau benda itu 100 peratus, tetapi hanya ada 10 peratus, kita tidak anggapnya sebagai satu sabotaj. Kita tidak boleh kata tiada langsung unsur sabotaj kerana tidak logik, tetapi sedikit sangat. Jadi, kita ambil kesimpulan, bukan elemen sabotaj yang mempengaruhi keputusan perlawanan.
"Macam polis kalau dia syak tapi tak ada bukti, orang itu dilepaskan. Macam itu jugalah, dalam kes ini, kita hendak sabitkan pasukan ini dengan unsur-unsur sabotaj, tak boleh kerana agak kabur, jadi lebih baik kita buat keputusan kolektif, kita nafikan ada elemen sabotaj," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Pada 23 September lalu, PAFA menggantung kesemua pegawai dan petugas termasuk Mohd. Azraai Khor selama dua minggu selepas mengesyaki wujudnya rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.
PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.
Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Disember, kalah kepada LionsXII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk 1-6 kepada Sarawak.
Zainol berkata, dengan penjelasan itu, beliau berharap dapat memberi keyakinan kepada pemain dan pegawai untuk meneruskan tugas serta tanggungjawab.
"Dalam bola sepak, tiada yang mustahil seperti yang berlaku pada Johor DT (Johor Darul Takzim) selepas ditewaskan oleh Kelantan 6-1. Kita bukan hendak tabur pasir pada periuk nasi pemain kerana kita buat laporan bukan hanya untuk puaskan hati PAFA, tetapi juga peminat.
"Ketua jurulatih boleh meneruskan tugas selepas ini tetapi saya difahamkan mereka mula bercuti sehingga hujung bulan," katanya.
Zainol mengakui ada pemain yang minta dilepaskan selepas insiden itu, tetapi jumlahnya hanya segelintir kecil dan PAFA tiada masalah selagi kontrak dipatuhi.
"Ada yang kata 80 peratus pemain akan tinggalkan Perak tetapi realitinya tidak begitu," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131012/su_01/Seladang-belum-tentu-bersih#ixzz2hSbXNyPc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment