Ad

Tuesday 15 October 2013

FAM jangan lupa akar umbi - Velappan

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Dr. Peter Velappan menasihatkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengabaikan pembangunan akar umbi menjelang penswastaan Liga Malaysia pada 2015.
Menurutnya, Malaysia umpama 'lombong emas' yang mempunyai ramai pemain berbakat di peringkat kanak-kanak dan remaja, tetapi malangnya bakat tersebut dilihat gagal menyerlah sebaik sahaja menjengah usia dewasa.
"Kita mempunyai ramai pemain remaja yang berbakat tetapi tidak melakukan perkara yang betul untuk terus menggilap bakat mereka," katanya kepada media semalam.
Jelasnya, ia umpama mahu membina rumah di mana, asas ataupun tanah perlu disediakan dahulu bukannya terus menyiapkan bumbung tatkala asas masih lagi lemah ataupun belum dibina.
"Memang kita memerlukan organisasi profesional untuk penswastaan liga, jika liga kita kuat kesannya juga dapat dilihat kepada skuad kebangsaan, semua serbi perlu profesional," katanya yang pernah menjadi pengurus skuad kebangsaan ke Sukan Olimpik 1972 Munich.
Khamis lalu, FAM telah mengeluarkan kenyataan bahawa penswastaan Liga Malaysia yang dirancang pada tahun 2015 berjalan dengan lancar apabila dan mereka meletakkan sasaran selewat-lewatnya satu kertas kerja yang lengkap akan siap pada Mac atau April tahun depan.
"Sekarang ini kita memang menganjurkan liga profesional tetapi prestasi masih lagi ditahap amatur, jadi kita perlukan perubahan yang radikal untuk bola sepak Malaysia. Pasukan negeri dan kelab perlu profesional sepenuhnya, kita perlukan revolusi dengan pihak pengurusan yang lebih teratur, begitu juga di bahagian kejurulatihan serta akar umbi.
"Jika tidak berjaya memang tidak ada bezanya dengan penganjuran liga dan pengurusan sekarang, jika tidak boleh melakukan perubahan simpan sahaja idea tersebut. Pengurusan profesional tidak boleh ditadbir individu yang ada sekarang seperti ahli politik," katanya.
Tambahnya, jika semuanya berjalan dengan baik Malaysia dijangka akan kembali menjadi kuasa besar dalam bola sepak Asia tidak kurang daripada lima tahun selepas penswastaan liga.
"Kita hanya duduk di bawah lombong emas, tetapi tidak tahu apa hendak buat, jika kita buat perancangan dengan teliti dengan menjadikan ia betul-betul profesional, saya yakin tidak ada masalah lima tahun selepas itu kita akan kembali berkuasa," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131015/su_06/FAM-jangan-lupa-akar-umbi---Velappan#ixzz2hmrWQmt7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment