Ad

Tuesday, 15 October 2013

Tiada lagi Sukan Olimpik buat Mun Yee

Leong Mun Yee (kiri) bersama Pandalela Rinong ketika memanaskan badan sebelum melakukan latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB
KUALA LUMPUR - Tiada lagi Sukan Olimpik buat bintang terjun negara, Leong Mun Yee apabila dia memutuskan untuk bersara daripada arena antarabangsa pada 2015, iaitu setahun sebelum Temasya Rio 2016 berlangsung.
Menurut Mun Yee, dua tahun daripada sekarang adalah tempoh maksimum yang diletakkan kepada dirinya untuk aktif dalam sukan terjun kerana dia sudah mengambil keputusan untuk berehat selepas itu.
Katanya, pada 2015 usianya sudah mencecah 30 tahun, justeru adalah realistik buatnya untuk berundur sebelum mencapai usia 31 tahun.
Biarpun nasib Mun Yee tidak sebaik rakan sepasukan, Pandelela Rinong yang berjaya membawa pulang pingat Olimpik pada penampilan di London 2012, namun Mun Yee percaya, dia sudah memberi sumbangan terbaik buat negara sepanjang bergelar atlet kebangsaan.
"Saya meletakkan sasaran untuk terus mewakili negara dalam sukan terjun sehingga 2015 sahaja, ini adalah tempoh terbaik memandangkan usia saya juga sudah genap 30 tahun ketika itu.
"Selepas itu, kemungkinan besar jika tiada apa-apa, saya akan membuat keputusan untuk bersara," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kata Mun Yee lagi, keputusan tersebut adalah yang terbaik buat dirinya kerana hanya dengan cara itu dia dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap masa depan dan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tambah Mun Yee, pada masa ini dia belum mempunyai sebarang perancangan apakah mahu memberi sumbangan kepada sukan terjun dengan bertindak menjadi jurulatih, baik di dalam negara mahupun luar negara.
Malah, atlet kelahiran Ipoh, Perak itu juga mengakui, belum mempunyai sebarang perancangan lain.
Tegas Mun Yee, buat masa ini, dia hanya memberi tumpuan kepad Sukan SEA XXVII di Myanmar, Disember ini, di mana dia bakal mengetuai cabaran pasukan negara bersama Pandelela.
Turut membawa cabaran Malaysia di Myanmar adalah Cheong Jun Hoong, Wendy Ng Yee, Nur Dhabitah Sabri, Loh Zhiayi, Ooi Tze Liang, Muhd. Amsyar Azman, Chew Yi Wei, Danial Sabri dan Muhd. Nazreen Abdullah.
"Saya akan berlatih di Guangzhou Sports Institute di China bulan ini dalam persiapan terakhir sebelum menghadapi Sukan SEA.
"Ketika ini, saya mahu memberi tumpuan kepada apa yang mendatang dalam tempoh dua tahun ini, kemudian baharulah saya fikirkan tentang perancangan lain.
"Tahun depan, ada dua kejohanan besar menanti, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, jadi sebaiknya saya fokus kepada persiapan itu sebelum berfikir lebih jauh.
"Apa pun, saya sudah menetapkan sasaran untuk berundur pada 2015," ujarnya lagi.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131016/su_05/Tiada-lagi-Sukan-Olimpik-buat-Mun-Yee#ixzz2hq8IhiAi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment