Ad

Saturday, 12 October 2013

Mahalli belum pasti beraksi


MAHALLI (duduk) yang mengalami kecederaan pangkal paha sekadar melihat rakan sepasukannya berlatih dari tepi padang semalam.


HARIMAU Malaya tempang menjelang aksi menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
‘Kereta kebal’, Mahalli Jasuli dilaporkan mengalami masalah kecederaan pangkal paha dan peluangnya untuk beraksi pada perlawanan penting itu dilaporkan tipis.
Berita sedih itu disahkan oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal semalam.
Menurutnya, Mahalli mengalami kecederaan tersebut ketika menjalani latihan bersama skuad negara kelmarin.
Situasi itu jelas mengundang resah buat Rajagobal apabila beliau kini berdepan krisis kecederaan pemain dalam usaha merencanakan skuad terbaik ketika berdepan Bahrain kelak.
“Hari ini (semalam), kita mendapat satu berita yang kurang baik apabila Mahalli mengalami kecederaan pada pangkal paha.
“Dia telah dinasihatkan oleh pegawai perubatan supaya berehat dan kita akan melihat perkembangannya esok (hari ini). Saya berharap dia cepat pulih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di padang latihan Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.
Tambah Rajagobal, beliau tetap optimis bahawa pemain yang dijangka bakal menyarungkan jersi Johor Darul Takzim itu pada musim depan, memiliki peluang cerah untuk diturunkan pada aksi menentang Bahrain.
“Kita juga tidak jangka Razman (Roslan) mendapat kecederaan. Ini kerana Razman bermain cukup baik ketika menggalas posisi Mahalli ketika menentang China, baru-baru ini.
“Apa pun, saya masih optimis dan positif bahawa Mahalli boleh diturunkan. Jika tidak, saya akan mencari pemain yang sesuai untuk diturunkan di posisi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mahalli mengakui dia terpaksa melupakan aksi penting ketika berdepan Bahrain jika kesakitan pada pangkal pahanya berterusan hari ini.
“Saya tidak boleh berlatih. Doktor suruh saya berehat. Esok (hari ini) kita akan tahu sama ada saya boleh beraksi atau tidak.
“Saya berharap kecederaan ini akan pulih kerana peluang untuk saya bermain itu cerah. Jika masih sakit, saya terpaksa lupakan aksi menentang Bahrain nanti,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/13.10.13

No comments:

Post a Comment