Ad

Sunday 13 October 2013

Lawan Bahrain mesti mahu raih mata - Hamidin

K. Rajagobal (kiri) gigih memberi tunjuk ajar kepada anak-anak buahnya dalam latihan skuad negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Malaysia akan menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, malam esok. - Utusan/RUSHDI SALLEH
KOTA BHARU - "Harimau Malaya perlu meraih mata, jika mahu melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 nanti."
Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelang aksi menentang Bahrian pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, esok.
Hamidin berkata, skuad kebangsaan perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan meraih sekurang-kurang satu mata meskipun bakal berdepan saingan sengit menentang Bahrain pada pertemuan tersebut.
"Saya harap kita dapat jadikan pertemuan dengan Bahrain ini sebagai titik tolak kebangkitan dengan meraih mata selain membaiki segala kelemahan yang ada bagi mencerahkan peluang negara untuk mara ke pusingan akhir di Australia 2015 nanti.
"Semua pasukan dari negara ASEAN yang bersaingan dalam pusingan kelayakan masih belum mempunyai sebarang mata, jadi kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin dengan meraih mata pada aksi kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Afandi Hamzah.
Hamidin memberitahu, beliau tetap menaruh kepercayaan kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk melakukan sesuatu pada perlawanan tersebut meskipun kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.
Katanya, perkara tersebut tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana masih ramai pemain yang boleh dipanggil untuk menggalas cabaran bersama skuad negara.
"Saya yakin dan percaya beliau (Rajagobal) telah membuat persediaan sebaiknya untuk menghadapi pertemuan dengan Bahrain kali ini.
"Walaupun aksi ini berlangsung pada Hari Raya Aidiladha saya harap ia tidak menganggu tumpuan pemain. Saya juga harap penyokong dapat hadir beramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan negara," ujarnya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131014/su_02/Lawan-Bahrain-mesti-mahu-raih-mata---Hamidin#ixzz2hebmXHVu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment