Ad

Tuesday, 15 October 2013

'Jangan cepat hukum kami'

Safiq Rahim
SHAH ALAM - 'Pasti kalah', Misi Mustahil... Itu mungkin pendapat peminat menjelang pertemuan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, malam ini.
Mungkin tiada siapa berani meletakkan harapan tinggi melangit melihat Harimau Malaya mampu mencuri tiga mata daripada skuad bimbingan Anthony Hudson.
Perbandingan atas kertas, memang tiada salahnya apa yang dirasai oleh pencinta bola sepak tanah air ekoran realiti prestasi semasa skuad kebangsaan yang terumbang-ambing sepanjang tahun ini, namun ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim tetap berharap semua peminat supaya jangan sama sekali berputus harapan.
Ujar pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) ini, mereka tidak perlu terlalu takutkan reputasi Bahrain yang baru sahaja tunduk 0-1 di tangan Thailand dalam perlawanan persahabatan sementara satu lagi pasukan dari Asia Tenggara, Vietnam turut mampu menewaskan Qatar, 2-1 di Doha, 9 September lalu.
Soalnya lagi, sampai bila anggapan negatif terhadap pasukan negara akan berterusan dan menagih sedikit keyakinan daripada semua pihak terutama penyokong untuk hadir memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya walaupun terpaksa beraksi pada Hari Raya Aidiladha.
''Lawan Bahrain esok (hari ini), saya harap janganlah cepat anggap yang kami tidak mampu beri tentangan sedangkan Thailand baru menang dengan mereka (Bahrain), Vietnam pun tidak kurang hebatnya apabila mengejutkan Qatar.
''Jadi, tiada yang mustahil sebenarnya untuk kami melakar kemenangan dan perbezaan kami dengan Bahrain, sebenarnya tidak terlalu jauh, jika kami lebih fokus sepanjang perlawanan serta tidak melakukan sebarang kesilapan besar, kami boleh menang.
''Kekuatan fizikal yang dimiliki Bahrain sebenarnya boleh disaingi oleh kami, lainlah kalau kami berjumpa dengan pasukan dari benua Eropah yang berada di kelas berlainan dan pada perlawanan esok, saya rasa peluang adalah 50-50 buat kami," katanya yang ditemui selepas menjalani latihan di Shah Alam, semalam.
Kemenangan yang dicapai oleh kedua-dua pasukan jiran Asia Tenggara itu membuktikan tembok pasukan Asia Barat itu bukannya kebal seperti disangkakan dan tidak mustahil anak-anak buah Datuk K. Rajagobal mampu memberikan hadiah terbaik buat Malaysia sempena Hari Raya Aidiladha.
Safiq yang akan menggalas tugas mengawal bahagian tengah bersama K. Gurusamy atau Shakir Shaari dijangka mengawal dua pemain berpengalaman Bahrain, Mahmood Abdulrahman dan Abdulwahab Al Malood.
Seorang lagi tunjang Harimau Malaya yang sering kali mengisi posisi bahagian sayap, Azamuddin Akil juga menegaskan yang dia sama sekali tidak mahu mengaku kalah sebelum berjuang sambil menyatakan misi mereka adalah mahu mendapatkan tiga mata bagi mencerahkan laluan ke Piala Asia 2015 di Australia.
''Peluang buat kedua-dua pasukan adalah seimbang dan jika kami memberikan komitmen lebih dari 100 peratus, Bahrain boleh dikalahkan dan apa yang penting saya dan rakan-rakan kena ada keyakinan diri.
''Biarpun Bahrain mungkin lawan yang sukar jika dibandingkan Yemen yang kami tewaskan sebelum ini, mereka juga ada kelemahan.
''Bermain pada Hari Raya Aidiladha juga menguatkan semangat kami untuk melakar kemenangan dan tidak mahu mensia-siakan pengorbanan yang kami lakukan apabila tidak beraya bersama keluarga pada kali ini," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131015/su_05/Jangan-cepat-hukum-kami#ixzz2hma9zY3z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment