Ad

Friday 11 October 2013

Hukuman gantung ditarik balik

AZRAAI (tengah) kini sudah boleh memberi fokus membimbing Perak selepas PAFA menarik balik hukuman penggantungan terhadap jurulatih dan pegawai skuad Kejor Yob Kejor.


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menarik balik penggantungan tugas ketua jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abddullah serta seluruh pegawai pasukan itu berkuat kuasa serta-merta mulai semalam.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, jawatankuasa khas siasatan dalaman yang ditubuhkan sebelum ini mengesahkan tiada elemen sabotaj membabitkan jurulatih, pegawai mahupun barisan pemain Perak.
Bagaimanapun, Zainol Fadzi menjelaskan, dakwaan wujudnya elemen rasuah melibatkan skuad Kejor Yob Kejor itu hanya akan diketahui selepas PAFA menerima laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Selepas meneliti dan dibincangkan oleh Ahli Majlis (PAFA), kita dapati tidak ada unsur sabotaj yang serius.
“Kita tidak boleh kata tidak ada langsung elemen sabotaj tetapi disebabkan sikit sangat, jadi PAFA ambil keputusan bahawa bukan elemen sabotaj yang mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Apa yang berlaku kepada Perak yang tumpas dalam tiga perlawanan terakhir saingan Piala Malaysia disebabkan faktor-faktor lain yang tidak mungkin boleh disifatkan sebagai sabotaj,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PAFA di Ipoh semalam.
Jelasnya, seramai 11 pemain dan enam pegawai termasuk pengurus Perak yang juga Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun dipanggil sepanjang siasatan itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA, Datuk Ismail Saffian.
“Apa yang PAFA lakukan ini semata-mata untuk memulihkan imej pasukan Perak dan apabila unsur sabotaj tidak wujud, saya harap ia dapat memberi keyakinan kepada pegawai serta pemain menjalankan tanggungjawab mereka.
“Dakwaan mengenai unsur rasuah kita tidak dapat umumkan kerana jawatankuasa ini tidak mempunyai autoriti memandangkan laporan mengenainya telah dibuat kepada SPRM,” katanya.
Beliau turut mempertahankan tindakan PAFA menubuhkan jawatankuasa khas dalaman berkenaan selain membuat laporan rasmi kepada SPRM berhubung wujudnya unsur sabotaj dan rasuah sebelum ini.
“Ambillah dari sudut positif, tindakan ini memberi nilai tambah kepada pemain. Kini terbukti tiada sabotaj, kalau tidak ada rasuah, pemain ini keluar sebagai individu yang mempunyai integriti yang tinggi.
“Secara tidak langsung kita bantu menaikkan nilai mereka di pasaran. PAFA sebagai majikan, kita ada hak untuk mengajar dan mendidik.
“Apa yang kita lakukan bukan nak tabur pasir dalam periuk nasi mereka tetapi mahu memulihkan imej pemain dan pegawai,” katanya.
Namun, Zainol Fadzi turut mengakui tindakan PAFA itu telah memberi kesan dan tekanan terhadap segelintir pemain yang dikatakan berhasrat meninggalkan skuad Seladang pada penghujung musim ini.
“Semua kena ikut kontrak dan perlu berlatih seperti biasa. Apa pun selagi belum tamat kontrak pemain kena ikutlah (arahan ketua jurulatih).
“Saya difahamkan beberapa pemain minta dilepaskan tetapi kontrak mereka sehingga hujung tahun. Jika ada baki sehingga tahun depan, mereka perlu patuh terma kontrak jika mahu menamatkannya,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/12.10.13

No comments:

Post a Comment