Nwakaemi mahu lanyak benteng ATM
PENYERANG 'besi' Kelantan, Dickson Nwakaemi memberi amaran kepada benteng Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar lebih berwaspada pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Jumaat ini.
Menurut Nwakaemi, dia makin bersemangat membawa Kelantan beraksi di pentas final selepas kejayaan The Red Warriors menumbangkan ATM 2-1 pada aksi pertama di Selayang, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Nwakaemi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya harus menampilkan disiplin yang tinggi pada pertembungan di Kota Bharu nanti bagi merealisasikan hajat tersebut.
"ATM sebuah pasukan yang bagus, mereka memiliki pemain hebat seperti Marlon Alex James dan Hairuddin Omar serta seorang penjaga gol yang bagus (Farizal Harun).
"Kami dan mereka (ATM) adalah sebuah pasukan yang hebat di negara ini, sudah pasti ia menjanjikan satu perlawanan yang hebat.
"Saya tidak ambil mudah pertemuan ini, para pemain perlu fikir ia adalah perlawanan pertama dengan keputusan masih 0-0.
"Kami akan bermain seperti perlawanan akhir dan saya harap kami akan menang," katanya semalam.
Nwakaemi menambah, semangatnya juga berkobar-kobar kerana ini merupakan aksi terakhir Kelantan di Kota Bharu dan sudah tentu dia mahu mengambil kesempatan untuk menghadiahkan sesuatu kepada ribuan penyokong setia Kelantan.
"Antara faktor kekuatan Kelantan adalah kerana mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri sejak beberapa tahun lalu," jelasnya.
Mengulas kenyataan berseloroh jurulatih ATM, B. Sathianathan yang menganggap dia 'makan besi' sejurus tamat aksi di Selayang tempoh hari, Nwakaeme menjawab: Itu pendapat beliau (Sathianathan), semua orang boleh mengeluarkan pendapat masing-masing.
"Mungkin saya kuat sebab saya berlatih bersungguh-sungguh. Sebelum ini saya tidak begitu cergas, sering cedera tetapi sekarang saya sudah pulih sepenuhnya dan mampu bermain pada tahap terbaik.
"ATM juga tidak mempunyai pertahanan import, mungkin itu juga menjadikan saya lebih selesa ketika berada di kawasan gawang mereka.
"Saya tidak peduli siapa yang akan ditugaskan untuk mengawal saya nanti, apa yang pasti mereka akan menghadapi tekanan hebat kerana saya mahu menjaringkan gol," ujarnya.
KOSMO ONLINE 23.10.13
No comments:
Post a Comment