Ad

Friday 11 October 2013

Pedrosa laung amaran awal

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
AKSI Dani Pedrosa ketika menunggang jentera Honda pada sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
SEPANG - Pelumba MotoGP, Dani Pedrosa bagaikan sedia mengulangi kejayaan mengungguli Grand Prix Malaysia tahun lalu apabila muncul pelumba terpantas pada sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Penunggang pasukan Repsol Honda dari Sepanyol itu mencatat masa terbaik, 2 minit, 0.554 saat pada sesi ujian bebas kedua. Dia mengatasi catatan 2:01.229s ketika sesi pertama di sebelah pagi.
Kata Pedrosa, dia amat gembira dengan hasil kerja pasukannya, termasuk pelarasan pada enjin.
“Hari ini semuanya berjalan lancar dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan litar di sini, malah saya juga amat puas hati dengan pengendalian saya.
“Bagi saya catatan masa terpantas banyak dipengaruhi oleh keadaan litar kerana jika litar kering ia akan membantu saya untuk melakukan pecutan dengan lebih baik," kata Pedrosa.
Kedua terpantas pada hari pertama GP Malaysia, semalam ialah rakan sepasukan Pedrosa, Marc Marquez dengan catatan 2:01.087s, meninggalkan pencabar terdekat, Cal Crutchlow (2:01.423s) daripada pasukan Monster Yamaha Tech 3 di tempat ketiga.
Penunggang Yamaha dan juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Itali hanya mampu berada di tempat keempat terpantas dengan catatan masa 2:01.538s.
Sementara itu, Marquez memberitahu dia kini sudah mula mendapatkan rentak yang baik selepas sesi ujian bebas tersebut.
“Saya sudah mula menyukai litar ini kerana pada dua sesi ujian bebas yang berlangsung saya rasa amat selesa terutama apabila melalui selekoh dengan menggunakan jentera ini.
“Saya juga dapati ada beberapa pusingan Dani (Pedrosa) amat pantas dan jika keadaan ini berterusan saya percaya pasukan mampu meraih banyak mata di sini," kata Marquez.
Hari ini akan berlangsung sesi latihan bebas ketiga di sebelah pagi sebelum sesi kelayakan berlangsung bagi memburu petak paling hadapan bagi perlumbaan utama esok.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131012/su_06/Pedrosa-laung-amaran-awal#ixzz2hSgrHZmo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment