Ad

Friday 11 October 2013

Cerita lama jangan diungkit lagi

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PEMAIN skuad kebangsaan gigih menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam menjelang pertemuan getir menentang Bahrain, Selasa depan. - UTUSAN/Mohd. Farizwan Hasbullah
PETALING JAYA - Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mahu semua pihak agar tidak mengungkit mengenai rekod kekalahan dibelasah 4-1 oleh Bahrain pada kelayakan Piala Dunia 2010 apabila kedua-dua pasukan berentap lagi pada kelayaskan Piala Asia 2015, Selasa depan.
Tegas Rajagobal, sejarah sepatutnya hanya tinggal sejarah, dan pertemuan di Stadium Shah Alam minggu depan adalah satu catatan baharu buat Malaysia.
Pada 2010, Malaysia yang ketika itu dibimbing oleh B. Sathianathan dibelasah 4-1 di Riffa.
Tegas Rajagobal, beliau bukan mahu mendabik dada bahawa kekecewaan lampau mampu dipadam, cuma beliau tidak mahu perkara yang tidak sepatutnya menjadi bahan cerita menjelang perlawanan getir buat Malaysia.
Katanya, Malaysia bukan saja bakal dibarisi skuad berbeza berbanding enam tahun lalu, selain dibimbing oleh jurulatih berbeza, malah Bahrain sendiri kini di bawah kendalian jurulatih baharu berusia 32 tahun, Anthony Hudson.
‘‘Tidak payah hendak cakap benda lama, yang penting kita mesti fikirkan pada pertemuan 15 Oktober ini biarpun kita tahu Bahrain adalah sebuah pasukan kuat dari Timur Tengah serta mempunyai sejarah yang baik dalam pusingan kelayakan AFC.
‘‘Namun, tumpuan kita adalah membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu nanti dan mendapat keyakinan bagi meraih keputusan yang baik terutamanya memburu tiga mata buat pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Walaupun tumbang di tempat lawan, Malaysia berjaya mengikat Bahrain 0-0 pada pertemuan timbal balik kedua di Stadium Shah Alam enam tahun lalu, yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan.
Berdasarkan rekod pertembungan, kali terakhir Malaysia menjinakkan Bahrain adakah pada 1978 di Daegu, Korea Selatan dengan keputusan 2-1.
Selepas detik itu, dalam tujuh perlawanan terakhir, hanya tiga keputusan seri serta empat kekalahan dicatatkan.
Namun, kekalahan mengejut 0-1 Bahrain kepada negara jiran, Thailand dalam aksi persahabatan di Bangkok, kelmarin mungkin memberi sedikit harapan buat pasukan negara.
Rajagobal bagaimanapun tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan perkhabaran itu kerana menganggap keputusan perlawanan persahabatan bukan bayangan kekuatan mana-mana pasukan, sambil menyatakan beliau sama sekali tidak akan tertipu.
‘‘Perlawanan persahabatan tidak menunjukkan apa-apa kerana kebiasaannya setiap pasukan akan berikan sepenuhnya pada perlawanan pusingan kelayakan atau kejohanan sebenar.
‘‘Bagi saya, apa yang lebih penting adalah memberi tumpuan kepada pasukan sendiri dan saya tidak fikir keputusan itu mampu memberi sesuatu kelebihan kepada kita, saya hanya mahu fikir cara terbaik bagi hadapi Bahrain, itu sahaja, " katanya.
Harimau Malaya yang tempang semasa ke Shenzhen, China ekoran kehilangan tujuh pemain menerima sedikit perkhabaran gembira apabila tunjang utama di bahagian pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak disahkan semakin pulih daripada masalah hamstring, sementara Norshahrul Idlan Talaha sudah mula menjalani latihan.
‘‘Tiga pemain saya telah dihantar pulang (cedera) iaitu Safee Sali, Helmi Remeli dan Razman Roslan tetapi hari ini (semalam) kita terima berita baik yang Aidil Zafuan sudah boleh berlatih, begitu juga Norshahrul.
‘‘Cuma Norshahrul masih menunggu laporan doktor bila dia perlu melakukan pembedahan kecederaan di hidung, saya harap dia dapat lakukannya selepas perlawanan. Kita amat memerlukan Norshahrul kerana tanpanya ia pasti boleh mengganggu rentak kita.
‘‘Sebagai pengganti, Mohd. Farisham Ismail, Syahrul Azwari dan Mohd. Hairol Mokhtar dipanggil. Kita boleh memberi tumpuan walaupun kita tahu pemain yang cedera ini mampu membawa perbezaa," ujarnya lagi.
Pemain lain yang berada dalam senarai kecederaan adalah Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Mohd. Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131012/su_02/Cerita-lama-jangan-diungkit-lagi#ixzz2hSZ5Bcal
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment