Ad

Monday 14 October 2013

Benteng sedia kekang Bahrain


AIDIL (kanan) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.


TONGGAK pertahanan kental, Aidil Zafuan Abdul Radzak menganggap kecederaan yang dialami Mahalli Jasuli sedikit sebanyak memberi kesan kepada benteng pertahanan Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Aidil berkata, situasi itu tidak bermakna barisan pertahanan akan mudah untuk dibolosi dalam pertemuan menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam esok.
Menurut Aidil, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal sudah pasti mempunyai pilihan pemain yang akan sedia menggalas tugas sekiranya Mahalli terpaksa diketepikan.
“Untuk latihan hari ini (semalam) saya digandingkan dengan Amirizdwan Taj, K. Reuben, Asraruddin (Putra Omar) serta beberapa pemain pertahanan yang lain.
“Bagi saya, jika Mahalli terpaksa diketepikan saya rasa jurulatih masih mempunyai pilihan yang boleh menggantikan posisinya seperti K. Reuben,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Aidil menambah, setiap pemain Harimau Malaya harus fokus dan memberikan komitmen 100 peratus pada pertemuan penting itu nanti.
“Kami telah banyak menimba pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga ketika bertemu UAE (Emiriyah Arab Bersatu) walaupun kalah 1-3.
“Daripada situ kami dapat pelajari serta meneliti kelemahan yang mungkin boleh kami kurangkan ketika bertemu Bahrain nanti,” ujar anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu.
Aidil berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan memberi persembahan yang terbaik dan cuba untuk meraih tiga mata penuh di Stadium Shah Alam.
“Walaupun masing-masing dalam mood berhari raya tetapi kami akan berkorban demi pasukan negara dan memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.
“Oleh itu, saya berharap penyokong dapat meluangkan masa untuk hadir beramai-ramai untuk memberi semangat kepada pemain-pemain Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan menentang Bahrain nanti,” kata pemain Johor Darul Takzim itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/14.10.13

No comments:

Post a Comment