SARAWAK optimis mahu melakar kemenangan pada aksi suku akhir kedua menentang Sime Darby di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching malam ini, sekali gus menempah tiket separuh akhir Piala Malaysia.
Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, bagi menggapai misi itu, skuad Bujang Senang harus mengekalkan momentum kemenangan yang diraih ketika membenam Perak 6-1 dalam aksi peringkat kumpulan bulan lalu.
Katanya, anak-anak buahnya berjaya mempamerkan aksi bertenaga dan persefahaman yang jitu dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu, lantas menyemarakkan semangat mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Saya harap para pemain Sarawak mampu meneruskan aksi dan rentak cemerlang bagi melangkah ke peringkat separuh akhir.
"Jadi, tiada alasan bagi kami untuk tidak meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut kerana kami mempunyai kelebihan dan peluang untuk berbuat demikian," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching semalam.
Alberts menambah, Sime Darby pastinya mempunyai tujuan yang sama iaitu mahu memenangi perlawanan tersebut, namun beliau yakin kemenangan akan memihak kepada skuad Bujang Senang.
"Kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk mencapai sasaran iaitu menang dalam perlawanan esok (malam ini) dan saya akan pastikan semua pemain akan memberi komitmen penuh dan tidak bersikap sambil lewa.
"Pemain perlu menunjukkan aksi terbaik memandangkan demam bola sepak sudah pun melanda seluruh Sarawak, malah kemenangan kelak bukan untuk pasukan sahaja tetapi ia untuk rakyat negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Alberts berharap para penyokong fanatik Ngap Sayot akan mengawal emosi menjelang perlawanan panas antara kedua-dua pasukan nanti.
"Saya harap mereka tidak menimbulkan suasana yang tidak diingini terutamanya melibatkan emosi yang tidak baik," katanya.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 28 September lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.
RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/5.10.13
No comments:
Post a Comment