Ad

Friday, 4 October 2013

Kelantan laung benam Johor DT


HODAK (kanan) berkata sesuatu kepada kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.


KELANTAN mahu memadamkan kelebihan dua gol yang dimiliki Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau optimis barisan pemainnya mampu bangkit dalam perlawanan tersebut, sekali gus menyekat kemaraan Johor DT untuk ke saingan separuh akhir.
Beliau berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri menjadi tonik paling berharga buat The Red Warriors untuk mencatatkan kemenangan seterusnya memadamkan kelebihan jaringan yang dimiliki skuad Harimau Selatan.
Menurutnya, moral barisan pemainnya kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk berhadapan dengan Johor DT.
"Segala kelemahan yang ada dalam aksi pertama tempoh sudah diperbaiki. Saya penuh yakin untuk perlawanan ini kita akan tampil dengan segala kekuatan yang ada.
"Walaupun ramai menganggap kita berdepan dengan tekanan dalam aksi kedua, namun bagi saya... kami tetap bermain seperti biasa sebagaimana menghadapi saingan sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Hodak mengakui, pasukannya perlu mendapatkan jaringan awal dalam perlawanan tersebut sebagai pembakar semangat untuk memadamkan kelebihan jaringan lawan.
Sehubungan itu, Hodak berkata, The Red Warriors harus menggunakan setiap peluang yang dimiliki dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
"Kami tidak boleh melepaskan setiap peluang yang dimiliki dan saya berkeyakinan tinggi barisan pemain mampu melakukan tugas mereka dengan baik dalam perlawanan ini," ujarnya.
Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit untuk memadam kelebihan jaringan yang dimiliki Johor DT.
"Jika pemain beraksi dengan penuh semangat, kami mampu memadamkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Tempoh 90 minit cukup panjang dan kami perlu manfaatkan setiap peluang yang dimiliki.
"Kalau kami dapat hasilkan jaringan awal dalam separuh masa pertama, kami mungkin mempunyai peluang lebih cerah dalam perlawanan tersebut," katanya.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu, Kelantan tumbang 2-4.


RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/5.10.13

No comments:

Post a Comment