Ad

Friday, 4 October 2013

ATM 'bedil' Lions XII

PENYERANG Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu The Gladiators mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, tiga gol yang disumbangkan Marlon membolehkan ATM menang 4-1 ke atas juara Liga Super, Lions XII.
Sebelum pertemuan di Selayang, Lions XII membawa bekalan satu gol selepas meraih kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Kemenangan bergaya di Selayang malam tadi menyaksikan ATM melangkah ke saingan separuh akhir dengan agregat 4-2.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, beberapa percubaan merbahaya ATM pada awal perlawanan berjaya dinafikan oleh benteng pertahanan Lions XII.
ATM akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan gol apabila pemain pertahanan Lions XII, Hariss Harun tertampan bola ke gawang sendiri.
ATM terus melancarkan serangan ke kubu lawan dan hasilnya pada minit ke-32, Marlon berjaya menambah gol kedua The Gladiators selepas melepasi perangkap ofsaid.
Bersambung babak kedua, Lions XII mula memperkemas rentak permainan dan pada minit ke-49, Hafiz Abu Sujad berjaya menjaringkan gol buat pasukan pelawat.
Pada minit ke-70, Marlon membuktikan kewibawaannya selaku penjaring terbanyak Liga Super musim ini apabila berjaya menyempurnakan sepakan percuma dari sebelah kanan pintu gol Lions XII untuk gol ketiga ATM.
Marlon terus menjelmakan watak pemusnahnya apabila tenang memperdaya dua pertahanan lawan seterusnya melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-83.
Memasuki masa kecederaan, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Amiridzwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah kerana menyiku Fazrul Nawaz.


RUJUKAN: http://www.kosmo.com.my/kosmo/5.10.13

No comments:

Post a Comment