Ad

Friday, 11 October 2013

Taufan gergasi ancam India

Foto
Nelayan di Ganjam menarik bot ke tepi pantai, ketika Taufan Phailin dijangka membadai timur India esok.
Bhubaneswar: Ratusan ribu penduduk di pantai timur India mula meninggalkan kediaman masing-masing dan mencari perlindungan di tempat selamat bagi menghadapi taufan gergasi Phailin dengan dengan saiznya sebesar separuh negara itu.

Taufan Phailin juga disifatkan taufan paling ganas, dengan kelajuan angin antara 210 hingga 220 kilometer sejam selepas ribut besar mengorbankan 10,000 orang 14 tahun lalu. 
Ombak besar setinggi 3.5 meter mula melanda pantai di negeri Andhra Pradesh, sehari sebelum Phailin dijangka membadai wilayah itu. 


Imej satelit menunjukkan kedudukan Phailin berada pada jarak 500 kilometer dari pantai Teluk Bengal dan diramal membadai wilayah timur India petang esok.

Beberapa ahli kaji cuaca menyamakan saiz dan kekuatan Phailin dengan taufan Katrina yang melanda pantai Amerika Syarikat dan New Orleans pada 2005.


260,000 sudah dipindah
Pihak berkuasa di Andhra Pradesh dan Odisha berkat kira-kira 260,000 orang sudah dipindahkan ke kawasan selamat dan ramai lagi dijangka dipindahkan menjelang lewat petang ini. Bagaimanapun sebilangan penduduk dilaporkan enggan meninggalkan rumah dan mendakwa tidak menerima arahan berpindah.

Jabatan Meteorologi India berkata Phailin akan melanda kawasan antara Kalingapatnam dan pelabuhan utama di Paradip, Odisha.

Pusat Amaran Bersama Taufan Tentera Laut Amerika meramalkan angin kencang sehingga 305 kilometer sejam.

“Kami bercadang memindahkan kira-kira 100,000 keluarga di daerah Ganjam menjelang pagi esok,” kata Pesuruhjaya Bantuan Khas Odisha, Pradeep Kumar Mohapatra kepada REUTERS.

Pihak berkuasa negeri berkata 5,000 keluarga sudah berpindah ke pusat pemindahan dan sekolah.

Pusat pemindahan itu dilengkapi dengan catuan makanan manakala cuti untuk kakitangan kerajaan dibatalkan.

Kerajaan menyiarkan amaran puting beliung menerusi pembesar suara serta melalui radio dan televisyen ketika tiupan angin pertama dirasai di pantai dan ibu negeri ini.


Diarah berpindah

Penduduk yang tinggal di dalam pondok dan kawasan tanah rendah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan puting beliung, bangunan tinggi dan tempat selamat lain.

Pihak berkuasa bekata helikopter juga sedang bersiap sedia di Barat Bengal, untuk mengagihkan paket makanan kepada penduduk yang tinggal di kawasan terpencil.

Pihak berkuasa India memberi amaran kerosakan teruk ke atas tanaman, rumah kampung dan bangunan lama selain gangguan bekalan air, elektrik dan perkhidmatan kereta api. - REUTERS
BERITA HARIAN ONLINE 12.10.13

No comments:

Post a Comment