Ad

Wednesday, 9 October 2013

Harimau Muda ke Liga Singapura?

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Hamidin (kiri) bersama Ong Kim Swee pada sidang akhbar skuad Harimau Muda di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Masih terlalu awal untuk memperkatakannya, namun ada kemungkinan pasukan Harimau Muda A yang akan memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Asia 2014 Incheon terpaksa bersaing dalam Liga Singapura (S-League) pada tahun depan.
Bayangan awal perancangan Harimau Muda A itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, mereka masih di peringkat rundingan sama ada akan membawa skuad bimbingan Ong Kim Swee berlatih ke luar negara seperti mana Slovakia pada tahun ini.
Jika semua rundingan itu gagal, beliau sedang menimbang kemungkinan menyerapkan kembali Harimau Muda A dalam S-League seperti mana yang mereka lalui pada tahun lalu.
‘‘Buat masa ini, FAM ada melakukan beberapa rundingan dengan beberapa pihak dan pilihan yang kami ada adalah seperti Slovakia iaitu tempat persiapan yang kita lalui tahun ini selain Brazil dan Australia.
‘‘Penghujung tahun ini kita akan umumkan dan mengikut Jawatankuasa Pertandingan yang lepas, ada kemungkinan pasukan Harimau Muda A akan bermain di Singapura jika hasrat bermain di luar negara tidak kesampaian.
‘‘Jika itu berlaku, Harimau Muda B akan ditempatkan ke Liga Perdana dan Harimau Muda C akan kekal bermain di Liga FAM," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.
Tahun lalu, Harimau Muda berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan S-League, 10 mata di belakang pendahulu, Tampines Rovers.
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengesahkan pasukannya akan berdepan skuad Bawah 23 Jordan di Amman pada 8 hingga 20 November ini sebagai rangka persiapan mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2013 Myanmar.
‘‘Selepas ini, kita akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan utama Bawah 23 tahun Jordan selain cuba mendapatkan dua perlawanan menentang pasukan kelab semasa di sana.
‘‘Apabila pulang ke tanah air pada 21 November nanti, kita akan mengaturkan dua lagi perlawanan persahabatan dan salah satunya adalah menentang kelab Jepun, FC Ryukyu manakala satu lagi akan dikenal pasti dalam masa terdekat," katanya.
Dia juga yakin pertindihan kepentingan skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda tidak akan mengganggu perancangannya sambil menjelaskan dia sentiasa berbincang dengan Datuk K. Rajagobal jika mahu mengambil mana-mana pemain.
Tambahnya, jika pemain itu tidak dipanggil oleh skuad senior, dia akan terus mendapatkan mereka untuk menjalani bersama Harimau Muda selain mempunyai beberapa pilihan lain dengan menyerapkan pemain Harimau Muda B dan C.
‘‘Saya tahu pada November nanti pasukan kebangsaan akan melalui pusingan kelayakan Piala Asia 2015 namun saya rasa itu bukan satu masalah kerana saya tetap boleh memanggil mana-mana pemain yang tidak disenaraikan.
‘‘Sebagai contoh, buat masa sekarang saya telah memanggil pemain Perak, Mohd. Nasir Basharuddin untuk menjalani latihan bersama kami dan saya juga ada ramai pemain dari Harimau Muda B atau C yang bila-bila masa sahaja boleh dipanggil," katanya.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131009/su_02/Harimau-Muda-ke-Liga-Singapura#ixzz2hDWm2NJT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment