Ad

Saturday, 12 October 2013

Giliran Mahalli bawa berita buruk buat Rajagobal

PETALING JAYA - Pada ketika perkembangan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha menceriakan skuad kebangsaan, namun bek kanan, Mahalli Jasuli pula membawa berita buruk apabila dihimpit kecederaan paha yang memaksanya berehat daripada menjalani latihan selama dua hari.
Perkhabaran terbaharu itu cukup meresahkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Bahrain Selasa ini.
Menurut Rajagobal, Aidil dan Norshahrul yang sebelum ini meresahkan skuad kebangsaan kerana kecederaan sudah kembali menjalani latihan penuh di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tetapi Mahalli pula dihimpit kecederaan.
“Kita nampak kedua-dua Aidil dan Mat Yo (Norshahrul) telah berlatih dengan kita hari ini (semalam) tanpa menunjukkan kecederaan serius, dalam fikiran saya walaupun mereka cedera tetapi ia tidak mengganggu mereka berdua untuk kembali berlatih.
“Ini adalah berita baik, namun petang tadi saya dikhabarkan Mahalli pula cedera," katanya kepada media sebelum sesi latihan semalam.
Jelasnya, Mahalli bukan mendapat kecederaan pangkal paha tetapi sedikit ketegangan di bahagian tersebut yang memaksa dia berehat selama dua hari termasuk semalam dan hari ini.
“Fisioterapi dan doktor menasihatkannya supaya berehat, jadi kita akan tengok perkembangannya esok.
“Sekarang kecederaan demi kecederaan melanda pemain terutama pertahanan," katanya lagi.
Mengikut perancangan awal Rajagobal, jika Mahalli mengalami kecederaan pemain yang mampu mengisi posisi tersebut adalah pertahanan Pahang, Razman Roslan bagaimanapun pemain itu cedera dan sudah dibenarkan meninggalkan kem skuad kebangsaan.
“Kita tidak jangka Razman mengalami kecederaan kerana dia bermain dengan baik ketika menentang China bulan lepas, namun saya masih berfikiran positif tentang perkembangan Mahalli dan harap dia mampu diturunkan nanti.
“Jika dia tidak sembuh, saya akan fikir siapa yang sesuai. Kita perlu pertimbangkan perkara ini sebaik mungkin kerana lawan kita adalah Bahrain," katanya.
Sementara itu, Mahalli yang hanya menyaksikan rakan-rakannya berlatih dari tepi padang berkata, dia memang tidak boleh berlatih langsung dan perlu berehat. Kedudukannya sama ada boleh diturunkan atau tidak dalam pertemuan dengan Bahrain nanti akan diketahui hari ini.
“Saya tidak boleh beritahu tahap kecederaan saya sekarang tetapi saya harap esok ia semakin pulih, jadi peluang untuk saya bermain Selasa ini cerah.
“Saya alami kecederaan ini ketika dalam latihan semalam (kelmarin)," kata pemain berusia 24 tahun itu.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131013/su_07/Giliran-Mahalli-bawa-berita-buruk-buat-Rajagobal#ixzz2hZKhAmnD 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment